Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nuraliawati Sabri


Melaka: Peniaga wanita rugi RM10,650 akibat diperdaya dalam urusan pembelian emas selepas melihat iklan mengenainya di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, pada 20 Jun lalu, mangsa yang berusia 42 tahun melihat iklan di Instagram dan menghubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp untuk membeli rantai leher.

"Sehari selepas itu dia membayar RM1,850 termasuk kos penghantaran dengan cara memindahkan wang ke akaun diberi suspek.

"Bagaimanapun selepas pembayaran dibuat, suspek menawarkan diskaun 10 peratus jika mangsa membuat pembelian emas melebihi RM5,000.

"Disebabkan tertarik dengan tawaran itu, mangsa menambah beliannya dengan membeli tiga rantai leher dan tiga gelang tangan yang bernilai keseluruhan RM11,150, manakala mangsa diminta bayar RM8,800 (harga selepas diskaun)," katanya di sini, hari ini.

Sundra berkata, mangsa membayar jumlah diminta itu pada 21 Jun lalu namun, hingga ke hari ini tidak menerima barang kemas yang dijanjikan dan usahanya menghubungi suspek juga gagal.

Katanya, susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Jasin, semalam dan semakan awal menerusi 'Check Scammers CCID' pihaknya mendapati akaun bank digunakan suspek terbabit dengan dua lagi kes penipuan yang dilapor sebelum ini..

"Manakala nombor telefon digunakan pula bersangkut dengan 23 laporan polis. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati membeli barang dalam talian dan membuat semakan nombor akaun dan telefon yang meragukan menerusi portal CCID atau aplikasi Check Scammers CCID

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 1:20 PM