SAARANI melakukan lawatan di PPV di Dewan Serbaguna Perumahan Penjawat Awam Aman Jaya, Lumut Kiri di Seri Manjung. FOTO Ihsan pembaca
SAARANI melakukan lawatan di PPV di Dewan Serbaguna Perumahan Penjawat Awam Aman Jaya, Lumut Kiri di Seri Manjung. FOTO Ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi

Sitiawan: Kesemua 31 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Perak akan beroperasi sepenuhnya apabila bekalan vaksin Covid-19 diperoleh, dijangka hujung bulan depan.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, ketika ini terdapat 13 PPV belum berfungsi berikutan bekalan vaksin tidak mencukupi untuk menampung keperluan di pusat itu.

"Setakat ini, hanya 18 PPV di Perak saja yang berfungsi (tetapi) bukan tidak cukup tenaga kerja, ia mencukupi... tetapi kita mahu memastikan bekalan vaksin mencukupi.

"Jika berdasarkan pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bekalan vaksin dijangka tiba mengikut jadual hujung Julai ini, jika ia berlaku, maka semua 13 PPV ini akan beroperasi," katanya.

Beliau ditemui selepas mendengar taklimat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi tiga perkampungan di Batu 9 Lekir di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Tanjung Kepah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, pihaknya menjangkakan antara 20,000 hingga 30,000 individu akan dapat divaksin setiap hari sekiranya semua PPV di Perak beroperasi peningkatan sehingga 15,000 penduduk divaksin sehari berbanding 10,000 orang.

Katanya, peningkatan jumlah penerima itu juga susulan penambahan kaedah pemberian vaksin menerusi kewujudan PPV bergerak dan pandu lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sudah memberi kebenaran kepada syarikat Maju Perak untuk membeli vaksin Covid-19 bagi pemberian secara berbayar kepada mereka yang berkemampuan.

"Semua itu bergantung kepada kecukupan (bekalan) vaksin. Kecekapan petugas kesihatan, sukarelawan dan jentera bertugas sudah baik, hanya memerlukan kesediaan orang ramai untuk keluar mengambil vaksin.

"Lagi banyak PPV, lagi hampir PPV dengan kediaman mereka (maka lebih ramai divaksin), malah sekarang kita sudah sediakan pengangkutan (diuruskan) oleh sukarelawan, jadi tiada masalah untuk ke PPV," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 5:09 PM