FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Padang Rengas: "Saya berharap Allah akan beri hidayah kepada mereka supaya berlapang dada untuk mengambil vaksin Covid-19," kata Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Saarani berkata demikian di samping merayu, menyeru agar rakyat negeri ini khususnya dalam kalangan penjawat awam untuk segera ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk menerima pelalian itu.

"Tidak adil (enggan divaksin). Agak malang sebab kita sudah bertungkus-lumus tangani Covid-19 dengan berbilion ringgit dibelanjakan untuk bekalan vaksin, namun ada hanya beberapa peratus rakyat degil, sengaja tidak mahu divaksin.

"Hak asasi manusia bukan hanya terpakai untuk orang enggan divaksin, tetapi jangan lupa orang lain pun ada 'hak asasi manusia' untuk dilindungi.

"Kita kena berlapang dada walau apa pun pendirian kita," katanya pada sidang media selepas Sesi Townhall Bersama Penjawat Awam dan Warga Keselamatan di Dewan Millenium Lubok Merbau, di sini, hari ini.

Saarani berkata, penjawat awam di bawah pentadbiran negeri turut tidak terlepas daripada tindakan tatatertib, malah ditamatkan perkhidmatan sekiranya sengaja enggan mendapatkan vaksinasi Covid-19 sebagaimana Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 18 Oktober lalu.

"Kalau 'federal' (pusat) sudah buat, (maka) negeri kena akur. Tidak adil kalau Perak tidak mengikutinya (pekeliling). Tidak adil juga kepada orang (penjawat awam) yang sudah ambil vaksin, namun tidak buat sebilangan yang enggan.

"Ini polisi atau dasar dibuat JPA serta diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), yang mana sudah tentu dasar itu dibuat sebab mengambil kira mereka (penjawat awam) yang tidak divaksin, dapat dijangkiti serta menjangkiti orang lain juga.

"Kita faham kalau ada yang menghidap masalah kesihatan, menghidap alahan atau sedang mengandung (jika enggan divaksin), tetapi kalau sengaja berhasrat tidak mahu divaksin, ia tidak adil untuk orang lain," katanya.

Ditanya mengenai kadar peratusan kes enggan divaksin dalam kalangan penjawat awam negeri ini, tanpa secara terperinci menyatakan jumlah, Saarani berkata, tiada istilah 'kes terpencil' selagi terdapat individu khususnya penjawat awam enggan divaksin.

"Tiada istilah terpencil, selagi ada orang tidak mahu divaksin, (kerana) bila dia berkeliaran merata tempat maka peluang untuk dia dijangkiti dan menjangkiti adalah tinggi walau hanya seorang (individu) sekalipun.

"Jadi ia bukan masalah terpencil kerana membuka ruang (jangkitan). Ya, kita tidak boleh memaksa sebab (memang) polisi dia (pemberian vaksin) adalah tidak boleh secara paksa.

"Namun kakitangan kerajaan terikat dengan peraturan, macam bila kita mula masuk kerja, maka kita akan disuruh pergi membuat pemeriksaan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 6:08 PM