BERNAMA

Ipoh: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar akan diwujudkan di semua negeri dengan pemberian vaksin kepada kira-kira 8,000 orang sehari.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya kini sedang merangka strategi dan penyediaan peruntukan bagi tujuan tersebut.

"Arahan daripada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) hendak selesai (pemberian vaksin kepada rakyat) tahun ini juga, jadi ini akan memerlukan PPV yang berskala agak besar.

"Kita sedang melihat kepada satu PPV yang mungkin boleh (sehingga dapat) selesaikan kira-kira 8,000 (penerima vaksin) satu hari bagi fasa ketiga, sebagai contoh di Kuala Lumpur iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya kepada pemberita selepas melawat PPV di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

KHAIRY pada sidang media ketika lawatan ke PPV di Stadium Indera Mulia. FOTO Sharul Hafiz Zam
KHAIRY pada sidang media ketika lawatan ke PPV di Stadium Indera Mulia. FOTO Sharul Hafiz Zam

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad untuk menyediakan PPV yang lebih besar di bandar raya Ipoh.

"Sebagai contoh, Stadium Indera Mulia hanya mampu (memberi vaksin kepada) 1,400 (orang) sehari sahaja, kalau ingin lihat kepada kapasiti lebih besar mungkin 5,000 ke atas memang memerlukan PPV yang lebih besar," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Sementara itu, beliau berkata setakat ini pihak kementerian belum menerima sebarang permohonan rasmi mahupun hitam putih daripada mana-mana negeri untuk pembelian vaksin Covid-19.

"Masalahnya sekarang ialah kekurangan bekalan, kalau hendak beli pun kita mempunyai masalah bekalan akses vaksin tersebut. Kalau mereka dapat beli saya tidak ada apa-apa masalah, kita boleh memberi kebenaran kepada kerajaan negeri untuk membuat perolehan, cuma buat masa ini kita mempunyai masalah bekalan vaksin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 1:23 PM