Mohd Kamaruddin pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK, Kuala Lumpur. FOTO NSTP
Mohd Kamaruddin pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK, Kuala Lumpur. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tubuh syarikat bagi mewujudkan akaun bank sebagai helah untuk digunakan sebagai akaun pindahan wang sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM2.7 juta.

Itu helah licik digunakan sindiket penipuan 'love scam' dan 'parcel scam' yang dikesan aktif melakukan kegiatan itu sejak lima tahun lalu.

Malah, sindiket itu turut mengemukakan dokumen perjanjian pinjaman kepada mangsa bagi membuktikan seolah-olah urusan pinjaman berkenaan benar-benar sah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan itu daripada seorang wanita bekerja sebagai ejen hartanah berusia 44 tahun pada 15 April lalu.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan dia mengenali seorang lelaki dari Amerika Syarikat melalui media sosial, Tinder pada November 2020.

Katanya, lelaki itu mendakwa kononnya mempunyai perniagaan di negara ini dan tiba di Johor Bahru bagi menghadiri kursus.

"Bagaimanapun, lelaki itu memaklumkan dia ditahan di lapangan terbang sebelum meminta bantuan mangsa dari segi kewangan atas pelbagai alasan.

"Mangsa terpedaya dengan suspek yang turut menjanjikan perkongsian perniagaan bersama membuat pindahan wang berjumlah RM2.7 juta melalui 11 transaksi ke akaun milik sebuah syarikat dalam tempoh tiga bulan sejak awal tahun ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK, di sini, hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata, bertindak atas maklumat diperoleh, pihaknya melakukan enam serbuan di Cheras dan Serdang, Selangor, bermula 8 pagi hingga 4 petang, semalam.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan lima lelaki warga Nigeria serta seorang wanita tempatan dipercayai keldai akaun serta kekasih kepada salah seorang suspek lelaki berusia antara 27 hingga 43 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan itu.

"Kami turut merampas sebuah kereta bersama kunci, empat komputer riba, satu sijil pengesahan nikah, dua dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), satu geran kereta, 16 telefon bimbit, tiga modem berserta router, 15 kad ATM, empat rangkai kunci rumah serta kad akses, 20 kad sim, tiga pasport, satu cap syarikat dan wang tunai berjumlah RM2,823.

"Selain itu, kami turut mengambil keterangan seorang wanita tempatan sedang hamil berusia 30 tahun dipercayai keldai akaun yang terbabit dengan sindiket berkenaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai beroperasi secara berasingan dalam dua kumpulan berbeza dengan berperanan mencipta akaun palsu di media sosial serta mencari keldai akaun.

Katanya, kumpulan pertama ini akan mencipta akaun palsu di media sosial seperti Facebook, Instagram, Tinder dan lain-lain platfom untuk mencari kenalan serta berkomunikasi dengan mangsa sehingga mereka terpedaya hingga memberikan wang atas dasar kasihan atau cinta.

"Satu lagi kumpulan sindiket ini berperanan sebagai ejen pencari keldai akaun di dalam dan luar negara untuk menerima wang hasil penipuan kegiatan berkenaan.

"Kumpulan ini akan menerima komisen sebanyak 5 hingga 15 peratus daripada hasil penipuan bergantung kepada jumlah wang dimasukkan ke dalam akaun (keldai), manakala baki wang diserahkan kepada kumpulan pemegang akaun profil palsu (kumpulan pertama)," katanya.

Menurutnya, sasaran mangsa sindiket ini adalah individu terdiri yang masih bujang atau sudah berpisah dengan pasangan masing-masing.

"Sindiket ini akan mengambil kesempatan terhadap mangsa yang sunyi dengan menjalinkan hubungan istimewa secara dalam talian dan seterusnya menggunakan pelbagai taktik untuk mendapatkan wang daripada mangsa.

"Antara taktik digunakan adalah bersubahat dengan individu tempatan untuk menyamar sebagai pegawai Kastam atau staf syarikat kurier bagi meyakinkan mangsa dalam proses pembayaran dan penerimaan parcel dihantar sebagai hadiah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 5:24 PM