Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Asisten Komisioner (ACP) Mohd Rosni Mohd Lazim (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas susulan penahanan dua beradik dipercayai dalang sindiket keldai akaun di Gelugor, di Georgetown. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Asisten Komisioner (ACP) Mohd Rosni Mohd Lazim (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas susulan penahanan dua beradik dipercayai dalang sindiket keldai akaun di Gelugor, di Georgetown. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


SINDIKET keldai akaun yang didalangi dua beradik tumpas selepas kegiatan mereka sejak setahun lalu berjaya dikesan pihak berkuasa.

Penahanan suspek lelaki berusia 20 dan 26 tahun itu dilakukan sepasukan anggota polis di kediaman mereka di Gelugor, Georgetown pada 22 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan daripada lelaki berusia 20-an mendakwa berlaku beberapa transaksi pada akaun banknya selepas pulang dari luar negara pada Mac lalu.

Menurutnya, mangsa yang juga pekerja kilang di luar negara ketika itu mendakwa penyata pada empat akaun banknya menunjukkan transaksi sebanyak RM800,000.

Katanya, lelaki itu kemudian pergi ke balai polis bagi membuat laporan kerana curiga dengan aliran keluar masuk wang pada akaun berkenaan.

"Siasatan awal terhadap mangsa lelaki terbabit pernah membuka empat akaun bank pada Februari lalu selepas tertarik dengan tawaran kenalannya mengenai peluang menyewakan kad debit kepada ejen sebanyak RM500.

"Mangsa yang berminat dikehendaki mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) sebelum menghantar semua dokumen dan kad kepada suspek di satu alamat di Kuala Lumpur," katanya hari ini.

Mohd Rosni berkata, pihaknya percaya akaun itu digunakan sebagai 'keldai akaun' bagi menjalankan transaksi tanpa atau dalam pengetahuan pemilik akaun.

Menurutnya, dalang sindiket menggunakan individu tempatan sebagai 'orang tengah' bagi dijadikan transit untuk melakukan transaksi pemindahan wang menerusi akaun itu.

Katanya, siasatan mendapati keldai akaun ini digunakan sindiket Macau Scam, African Scam, Parcel Scam, pembelian dalam talian, pinjaman tak wujud dan judi dalam talian.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan kegiatan itu dan percaya sindiket itu dijalankan secara rangkaian membabitkan beberapa lagi suspek.

"Polis juga sedang mengesan dua lagi pemilik akaun yang dipercayai turut menjadi mangsa sindiket ini," katanya.

Menurutnya, antara barangan dirampas ialah sembilan kad debit pelbagai bank, 14 buku cek, 10 cop syarikat, 50 kad perniagaan, 13 dokunen pendaftaran syarikat dan dua telefon bimbit.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 2:11 PM