Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan tiga individu termasuk suami isteri serta merampas dadah bernilai RM9.3 juta, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Cheras dan menahan dua lelaki serta seorang wanita berusia 21 hingga 31 tahun bersama dadah pada jam 2.15 petang

Menurutnya, polis kemudian menyerbu tiga lagi lokasi di Cheras dan Kajang, Selangor pada Sabtu serta Ahad lalu dan merampas pelbagai dadah.

"Serbuan itu membabitkan tiga rumah dan satu apartmen yang mana polis merampas dadah heroin base seberat 98 kilogram (kg), heroin (dua kg), ketamin (9.8) kg dan eramin 5 (16.7 kg).

"Kita turut merampas tiga Toyota Vellfire, sebuah Honda City dan sebuah Proton Iswara bersama wang tunai RM400," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Azmi berkata, siasatan awal polis mendapati empat premis itu itu dijadikan sebagai tempat simpanan dadah dan disewa selama tiga bulan dengan sewa RM1,000 hingga RM2,000.

"Ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah dan semua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Nilai rampasan keseluruhan termasuk sitaan kenderaan adalah lebih RM9.8 juta," katanya.

Beliau berkata, suspek direman bermula Ahad lalu hingga hari ini dan akan disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis berjaya menumpaskan sindiket didalangi warga tempatan ini yang aktif di Lembah Klang di mana dadah dirampas dapat membekalkan kepada 169,535 pengguna," katanya.

AZMI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Hazreen Mohamad
AZMI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 1:26 PM