Essa Abu Yamin


POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah rumah kampung di Sri Menanti, Muar sebagai makmal pemprosesan dadah pada 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kegiatan itu terbongkar selepas lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan di rumah sewa berkenaan bersama beberapa bahan dan peralatan memproses dadah.

"Serbuan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu berjaya menemui sejumlah 22.5 kilogram dadah dipercayai heroin, heroin base dan syabu.

"Serbuan turut merampas 279.3 kilogram serbuk putih bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah dengan nilai keseluruhan RM707,714.15," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas empat kereta termasuk dua kereta mewah, barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM47,800 dengan nilai keseluruhan RM313,300.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek yang tidak bekerja itu mendapati dia positif opiate selain turut memiliki dua rekod lampau memiliki dadah.

"Polis sedang mengenalpasti rangkaian pengedaran dadah berkenaan termasuk saki-baki individu terbabit," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman tujuh hari bermula tarikh tangkapan.

ZAHARUDIN (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Sri Menanti. FOTO Essa Abu Yamin
ZAHARUDIN (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Sri Menanti. FOTO Essa Abu Yamin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 12:16 PM