GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pereka grafik Muhammad Syabil Mohd Ribuan dipilih sebagai pemenang pertandingan mencipta logo anjuran Kedutaan Poland di Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan Poland.

Rekaan kreatif dan unik Muhammad Syabil dari Kuala Lumpur, yang menggambarkan angka 50 dalam lukisan grafik yang menggabungkan burung helang putih dan burung enggang, masing-masing sebagai simbol kebangsaan Poland dan Malaysia, merangkul hadiah EUR1,000.00 (RM4,815).

"Rekaan logo asli Syabil mencuri hati panel hakim. Rekaan uniknya terhadap simbolisme kedua-dua negara menarik perhatian kami.

"Objektif kami adalah memilih logo yang secara kreatif dan bijak melambangkan keharmonian Malaysia dan Poland dengan menggunakan angka 50.

"Pada pendapat kami, Muhammad Syabil memanfaatkan lambang itu dengan sempurna dalam rekaannya. Tahniah!" kata Duta Besar Poland ke Malaysia Krzysztof Dębnicki dalam kenyataan kepada Bernama, di sini, hari ini.

Pada awal tahun ini, kedutaan itu menganjurkan pertandingan mencipta logo untuk memperingati peristiwa penting berkenaan dan ia terbuka kepada rakyat Malaysia dan Poland.

Malaysia dan Poland akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 21 Jun ini.

Lebih 300 karya seni diterima untuk pertandingan ini, dengan 274 rekaan logo memenuhi syarat.

Kedutaan Poland juga merancang untuk mempamerkan 20 logo terbaik akhir tahun ini.

Sementara itu, Dębnicki menekankan meskipun terdapat sekatan semasa, Kedutaan Poland akan terus mengadakan pelbagai pertandingan dalam talian dengan hadiah menarik untuk dimenangi dan juga kempen promosi, bertujuan mendekatkan Poland dengan rakyat Malaysia.

"Kami merancang untuk mengadakan konsert muzik Poland, menyokong aktiviti pro-ekologi dengan menanam pokok di pelbagai lokasi di Malaysia, (dan) kami merancang untuk menghiasi bangunan ikonik di Malaysia," katanya.

Kedutaan juga berhasrat menyumbangkan 50 biji bola sepak sebagai simbolik kepada sekolah-sekolah tempatan dan institusi berkeperluan khas yang disokongnya.

"Kami mengalu-alukan semua orang untuk mengambil bahagian dalam acara-acara khas yang dianjurkan bagi menandakan 50 tahun hubungan dua negara."

Maklumat lanjut boleh didapati di laman sosial media Kedutaan Poland di Twitter, Instagram dan Facebook dengan nama akaun @PLinKualaLumpur, dan juga di laman web rasmi www.PL50MY.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 10:39 PM