TINJAUAN pengunjung di Zoo Negara sempena cuti umum perayaan Krismas tahun lalu. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
TINJAUAN pengunjung di Zoo Negara sempena cuti umum perayaan Krismas tahun lalu. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Sejumlah RM179,426 dana segera diluluskan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai peruntukan awal Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar kepada 10 premis Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) yang terjejas teruk dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata ia dibuat melalui peruntukan Akaun Amanah Konservasi Biodiversiti bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Beliau berkata, dana segera itu adalah kesinambungan terhadap bantuan yang disalurkan sebelum ini iaitu sejumlah RM3.9 juta peruntukan daripada Kerajaan dan RM500,000 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bawah program tanggungjawab sosial korporat yang disalurkan secara berperingkat kepada 25 ZPT yang terjejas bermula Mei 2020.

Katanya, Bantuan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar pada kali ini adalah berdasarkan permohonan bagi keperluan segera oleh 10 premis ZPT berkenaan.

"Kementerian turut prihatin kepada ZPT yang terjejas berikutan pelaksanaan SPP ini.

"Selain ketiadaan sumber pendapatan akibat daripada tiada kutipan tiket masuk, ZPT juga terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi termasuk bagi menyediakan bekalan makanan, ubat-ubatan dan pengurusan husbandri," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bagi mengurangkan beban yang dihadapi oleh rakyat ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Shamsul Anuar berkata, sejak pengumuman PKP pertama pada Mac 2020, KeTSA menyediakan pelbagai inisiatif melalui penyaluran bantuan kepada sektor bawah kawalan Kementerian yang terjejas.

Katanya, bagi membantu penyewa tanah Persekutuan dan penyewa ruang bangunan Kerajaan Persekutuan, inisiatif pemberian diskaun yang diberikan kepada penyewa-penyewa sehingga 30 Jun ini, akan diteruskan untuk tempoh enam bulan bermula 1 Julai sehingga 31 Disember depan.

"Inisiatif kepada penyewa-penyewa tanah dan ruang bangunan Persekutuan itu diharap dapat membantu meringankan beban disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 ini selain memberi ruang untuk penyusunan semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah atau ruang bangunan Persekutuan.

"Kerajaan melalui KeTSA sentiasa komited dalam membantu sektor bawah kawalan Kementerian yang terkesan termasuk dalam memastikan kebajikan rakyat ditingkatkan dan perlindungan hidupan liar terus terpelihara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 1:29 PM