Anggota bomba membantu kebumikan wanita obesiti yang meninggal dunia akibat Covid-19. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba membantu kebumikan wanita obesiti yang meninggal dunia akibat Covid-19. Foto Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil untuk khidmat khas mengangkat jenazah wanita obesiti yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.58 tengah hari untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguruskan pengebumian jenazah wanita itu hari ini.

Menurutnya, sepasukan 11 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu membantu membawa jenazah berkenaan dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal, Tikam Batu di sini.

"Operasi itu turut diiringi dua kakitangan HSAH," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, jenazah wanita berusia 55 tahun yang mempunyai masalah obesiti dengan berat 180 kilogram selamat tiba di Tanah Perkuburan Islam Pinang Tunggal pada 2.52 petang.

Menurutnya, anggotanya turut terbabit dalam kerja menurunkan jenazah ke dalam liang lahad dan dibantu sebuah jengkaut.

"Urusan pengebumian di tanah perkuburan tamat pada 3.34 petang dan operasi nyah cemar serta sanitasi terhadap kenderaan, peralatan yang digunakan dilakukan di pekarangan balai bomba pada 3.51 petang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 8:45 PM