Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Kegiatan sindiket mencuri kenderaan lama di daerah ini terbongkar dengan penahanan tiga individu dalam dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur serta Puchong Jaya pada 3 Februari dan Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada individu yang memaklumkan lori milik sebuah syarikat hilang di Mutiara Damansara, di sini, 4 petang pada 3 Februari lalu.

Katanya, hasil semakan terhadap pengesan kedudukan global (GPS) pada lori berkenaan mendapati kenderaan itu berada di Pulau Pinang pada 5.12 petang hari kejadian.

"Bertindak atas maklumat diperoleh, kami menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 27 dan 28 tahun dalam serbuan di Hentian Duta, Kuala Lumpur, 9.30 malam pada 3 Februari lalu.

"Dalam serbuan itu, kami menemui sebuah Proton Wira dan sebuah van yang dilaporkan hilang di daerah ini pada Januari lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, hasil soal siasat dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan mengaku terbabit dalam kejadian curi kenderaan itu bersama seorang lagi lelaki.

"Berdasarkan maklumat diterima, kami menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 36 tahun dalam serbuan di Puchong Jaya, 6.30 petang pada Sabtu lalu.

"Modus operandi sindiket ini adalah menyasarkan kenderaan model lama yang diserahkan kepada orang tengah untuk dileraikan bagi mendapatkan komponen yang dijual sebagai alat ganti. Kami percaya sindiket itu aktif melakukan kegiatan ini sejak Disember tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, penahanan ketiga-tiga suspek berkenaan berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan yang dilaporkan di daerah ini.

"Semua suspek terbabit direman sehingga semalam mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

"Ketiga-tiga suspek berkenaan kemudian diserahkan kepada IPD Shah Alam untuk siasatan kes curi kenderaan di daerah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 12:50 PM