Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri kenderaan lama dan terbiar di tempat letak kenderaan di sekitar daerah ini, 4 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan dalam serbuan di tempat letak kenderaan berhampiran Taman Medan, di sini, jam 12.30 tengah hari, Sabtu lalu.

"Ketika ditahan, suspek terbabit didapati sedang mengangkat beberapa komponen kenderaan ke dalam sebuah lori.

"Kami turut merampas sebuah lori jenis Mitsubishi serta beberapa peralatan untuk memotong komponen kenderaan termasuk beberapa komponen kenderaan yang sudah dileraikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

MOHAMAD Fakhrudin menunjukkan barang rampasan berkaitan kes curi kenderaan lama. FOTO Amirudin Sahib
MOHAMAD Fakhrudin menunjukkan barang rampasan berkaitan kes curi kenderaan lama. FOTO Amirudin Sahib

Mohamad Fakhrudin berkata, modus operandi suspek adalah memotong serta meleraikan kenderaan model lama yang ditinggalkan terlalu lama di kawasan Taman Medan sebelum dileraikan dengan komponennya dijual semula.

"Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan kes dadah. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Sepanjang Januari hingga Februari lalu, sebanyak 10 laporan polis diterima berkaitan kes hilang kenderaan lama yang diparkir di tempat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 3:11 PM