Grafik kes kematian disebabkan Covid-19. FOTO FB KKM
Grafik kes kematian disebabkan Covid-19. FOTO FB KKM
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Sebanyak 86 kes kematian direkodkan termasuk tiga bukan warganegara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kes kematian yang direkodkan membabitkan 20 kes di Selangor, 14 kes di Johor, Negeri Sembilan (13), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7).

Beliau berkata, kes kematian juga direkodkan di Sarawak sebanyak lima kes, empat di Kedah dan masing-masing tiga kes di Sabah, Melaka, Pahang, Perak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Pulau Pinang.

"Selain itu, di Kelantan dan Terengganu sebanyak dua kes serta satu kes kematian di Perlis.

"Hari ini kita merekodkan jumlah kes sebanyak 7,748 kes menjadikan kes kumulatif 603,122 manakala untuk kes sembuh adalah 6,624 iaitu 85.5 peratus.

"Kes aktif adalah 84,369 dan sebanyak 883 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala 459 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Menurutnya, terdapat 23 kluster baharu yang dilaporkan semalam menjadikan jumlah kluster sebanyak 2,284 manakala kluster yang sudah tamat adalah 1,593 dan kluster aktif sebanyak 691.

Noor Hisham berkata, daripada 24 Mei hingga hari ini, sebanyak 19 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 yang dilaporkan di mana semuanya adalah Variant of Concern (VOC).

Beliau berkata, empat kes varian Delta (B.1.617.2) dan 15 kes varian Beta (B.1.351).

"Kes baharu varian Delta (B.1.617.2) yang dahulunya dikenali sebagai varian India adalah sebanyak tiga kes di Wilayah Persekutuan Labuan dan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Semua tiga kes di Wilayah Persekutuan Labuan adalah jangkitan dari luar negara yang kes daripada kluster Layangan Labuan, manakala satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah jangkitan tempatan.

"Bagi 15 kes baharu varian Beta (B.1.351) yang dahulunya dikenali sebagai varian South Africa pula, sebanyak enam kes dilaporkan di Johor, lima kes di Kelantan serta masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, dan Terengganu," katanya.

Menurutnya, sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 138 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 122 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes, serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini dalam komuniti.

"Kita ingin menasihati orang ramai termasuk individu-individu yang menerima vaksin Covid-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 10:13 PM