Syaherah Mustafa

Tanah Merah: "Kata doktor, kes anak saya ini satu dalam sejuta kerana dia tidak mempunyai lidah, lelangit dan gusi bahagian bawah selain mengharapkan susu disalurkan melalui wayar untuk meneruskan kehidupan," luah Abdullah Muhammad.

Abdullah, 36, adalah bapa kepada bayi berusia setahun, Muhammad Aziem Haikal Fitri, yang dilahirkan istimewa tidak seperti kanak-kanak lain selain menghidap jantung berlubang, namun aktif bermain selain murah dengan senyuman tanpa mengerti kekurangan dihadapinya.

Katanya, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak boleh diberi makanan lain selain susu dan pernah beberapa kali dibawa ke hospital kerana terlekat makanan pejal yang disuap sendiri ke mulutnya.

"Sebenarnya, saya buntu dengan keadaan sebenar Muhammad Aziem apabila terdapat pakar perubatan memberitahu lidahnya ada, cuma terlekat pada bahagian tekak.

"Jadi beberapa kali pembedahan perlu dilakukan untuk memastikan lidahnya kembali normal.

"Sepatutnya pembedahan pertama dilakukan pada Februari lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, namun terpaksa ditangguh susulan pendemik Covid-19 dan kini kami masih menunggu panggilan daripada pihak hospital untuk tarikh baru.

"Saya dan isteri, Hasnida Che Omar, 31, memang tahu perlu menyediakan kos pembedahan tetapi masih belum diberitahu jumlah sebenar dan kami risau kerana hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan wakil Yayasan Raja Shamri (YRS) di rumahnya di Kampung Bukit Gading, di sini, semalam.

Abdullah Muhammad, 36, memberikan susu kepada anaknya. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Abdullah Muhammad, 36, memberikan susu kepada anaknya. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Wakil YRS, Tuan Zaimah Raja Omar, menyampaikan sumbangan kewangan dan pek makanan selain dalam proses membuat permohonan bantuan susu daripada yayasan sebanyak RM500 sebulan.

Abdullah yang bekerja sebagai peniaga pasar malam berkata, dia memerlukan sejumlah wang banyak untuk membeli susu khas berharga RM100 satu tin, dan kini dia hanya memberi susu biasa buat Muhammad Aziem.

Menurutnya, selain itu, Muhammad Aziem perlu sentiasa dipakaikan wayar yang sepatutnya ditukar setiap dua bulan sekali, namun kerana usianya masih kecil dan aktif, ia selalu sahaja tercabut.

"Jadi saya dan isteri akan memasang sendiri selepas diajar pihak hospital.

"Setiap kali wayar dipasang, dia akan menangis mungkin kerana rasa sakit dan tidak selesa, malah kami yang melihatnya ada masanya menitiskan air mata kerana memahami kesengsaraan dihadapinya.

"Sepanjang Ramadan, kami hilang punca pendapatan, hanya mengharapkan simpanan tak seberapa dan berbuka ala kadar sahaja untuk menjamu tiga lagi anak berusia empat hingga 10 tahun," katanya.

Menurutnya, Muhammad Aziem hanya mampu menangis dan menjerit jika mahukan sesuatu selain air liur yang selalu meleleh keluar kerana dia tidak mampu menelan.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga terbabit boleh menghulurkan bantuan melalui Bank Simpanan Nasional (0311229000353543) milik Hasnida Che Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 4:33 PM