KAWASAN Bangunan Dewan Undangan Negeri Baru Sarawak lengang, semalam berikutan kenaikan kes Covid-19 di Bandaraya Kuching dan sekitarnya. FOTO Bernama
KAWASAN Bangunan Dewan Undangan Negeri Baru Sarawak lengang, semalam berikutan kenaikan kes Covid-19 di Bandaraya Kuching dan sekitarnya. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di Sarawak selama 14 hari mulai Sabtu ini hingga 11 Jun.

Langkah itu diambil susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang semakin membimbangkan walaupun Sarawak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan sejak 12 Mei lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebahagian besar kluster yang tercetus ketika ini membabitkan pematuhan SOP yang lemah, terutamanya ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

"Selepas mengambil kira situasi Covid-19 di Sarawak yang semakin meruncing, situasi fasiliti kesihatan yang kritikal, tambahan pula dengan varian baru (VOC) yang dikesan di Sarawak baru-baru ini, kita perlu mengambil tindakan yang lebih drastik untuk mengawal jangkitan sebelum situasi bertambah parah.

"Berikutan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk mengisytiharkan pelaksanaan PKP di seluruh Sarawak bagi tempoh 29 Mei 2021 hingga 11 Jun 2021," katanya pada sidang media hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, garis panduan SOP yang lebih ketat di bawah PKP dan kawalan pergerakan dalam tempoh beberapa minggu amat penting bagi

membantu mengurangkan risiko penularan Covid-19 di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes jangkitan Covid-19 di Sarawak meningkat dengan ketara selepas sambutan Aidilfitri yang membabitkan ziarah raya.

"Sejak 9 Mei sehingga 15 Mei lalu, 3,272 kes dilaporkan (purata 467 kes sehari).

"Kes Covid-19 di Sarawak terus menunjukkan peningkatan daripada purata 467 kes sehari ke 520 kes sehari pada minggu seterusnya dan setakat 27 Mei lalu, 3,118 kes dengan purata 623 kes sehari dilaporkan.

"Hari ini, Sarawak mencatatkan jumlah kes harian kedua tertinggi sejak penularan pandemik iaitu 772," katanya.

Selain itu, Sarawak merekodkan jumlah kes kematian disebabkan jangkitan Covid-19 yang tertinggi semalam dengan sembilan kes.

"Jumlah kematian meningkat daripada purata satu kematian sehari pada Mac, kepada purata dua kematian sehari pada April.

"Bagi Mei (setakat 27 Mei), 91 kes kematian dilaporkan atau purata tiga kematian sehari," katanya.

Sementara itu, Uggah berkata, JPBN menasihati orang ramai, terutamanya mereka yang akan menyambut Hari Gawai supaya mematuhi SOP.

"Sambutlah Gawai dengan ahli keluarga yang tinggal serumah sahaja atau di bilik (rumah panjang) masing-masing atau mengunakan teknologi berhubung secara maya.

"Jangan balik ke rumah panjang atau kampung, duduk di rumah sahaja, jangan melakukan sebarang aktiviti ziarah atau 'ngabang', jangan berkumpul di suatu tempat atau ruai, usah menganjurkan aktiviti sabung ayam, dan sentiasa mematuhi SOP," katanya.

Menurutnya lagi, adat serta identiti bangsa tidak akan hilang tanpa meraikan perayaan tahun ini.

"Bersimpatilah terhadap semua petugas barisan hadapan terutamanya kakitangan perubatan, yang terpaksa menanggung bebanan besar yang dibawa virus ini tanpa mengira cuti atau

perayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 6:39 PM