DR Mohd Azman (tengah) beramah mesra dengan petugas PKRC selepas melawat PKRC Dewan Jubli Perak. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Mohd Azman (tengah) beramah mesra dengan petugas PKRC selepas melawat PKRC Dewan Jubli Perak. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka di Kelantan, menjadikan keseluruhan 13 PKRC sehingga hari ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yakob berkata, pembukaan dua PKRC berkenaan susulan peningkatan kes Covid-19 sehingga mencecah lebih 600 kes harian.

Beliau berkata, dua PKRC berkenaan membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di Tumpat dan Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Tanjung Chat.

"SMK Kampung Laut mampu memuatkan 200 pesakit Covid-19 dan mula beroperasi hari ini. PKRC itu menggunakan asrama sekolah dan boleh menempatkan pesakit Covid-19 berusia 35 tahun ke bawah.

"Kami mengkhususkan PKRC berkenaan bagi menempatkan pesakit Covid-19 dari kepulauan Tumpat termasuk Pulau Seratus, Teluk Renjuna dan Pulau Suri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PKRC Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Dr Azman berkata, Dewan JKKN pula boleh menempatkan 250 pesakit dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada minggu hadapan.

Beliau berkata, bagi dewan itu, pihaknya perlu menyelesaikan masalah infra dari segi alat pendingin hawa dan pesakit akan mula dimasukkan sebaik perkara itu selesai.

"Pada masa sama, kami sudah mengenal pasti beberapa lokasi lain bersesuaian untuk dijadikan PKRC memandangkan trend kes semakin meningkat.

"Antaranya Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan kami akan membentangkan dalam mesyuarat nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 3:47 PM