GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru: Orang ramai khususnya di kawasan zon merah di negeri ini perlu memanfaatkan pendaftaran untuk suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca pusingan kedua secara sukarela bermula 23 Mei ini.

Pengerusi Task Force Covid-19 MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, biarpun ia diberi keutamaan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas, orang ramai digalakkan mendaftar.

Katanya, ia selari dengan hasrat kerajaan untuk memberikan perlindungan terutama kepada golongan rentan ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

"Apabila ramai yang berdaftar dan menerima suntikan vaksin, imunisasi rakyat akan meningkat kerana kita akan hidup dengan virus Covid-19 untuk tempoh yang tidak diketahui lagi.

"Orang ramai boleh mendaftar pada pusingan kedua secara sukarela dengan melayari laman web https://www.vaksincovid.gov.my.

"Saya turut memohon kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin supaya segerakan pemberian 100,000 vaksin kepada rakyat Johor yang berada di kawasan zon merah," katanya ketika ditemui di Pejabatnya di Taman Pelangi di sini, hari ini.

Pusingan kedua itu dibuka untuk penduduk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak. Bagaimanapun tempahan membabitkan 1.1 juta dos vaksin itu dikhususkan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Ia juga akan diberikan kepada kira-kira 25,000 individu yang berada dalam senarai menunggu selepas mendaftar ketika pusingan pertama tempahan vaksin AstraZeneca secara sukarela pada 2 Mei lalu.

Menurut Michael Tay, kes baharu Covid-19 yang meningkat amat membimbangkan masyarakat apatah lagi apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan dengan kekurangan jururawat pakar dalam mengendalikan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Semakin ramai orang yang dijangkiti Covid-19 dirawat di ICU. Ia menyebabkan tenaga jururawat di ICU berkurangan, biarpun banyak tempat dijadikan pusat rawatan.

"Adalah wajar pihak yang berkaitan dan pakar dalam melatih jururawat supaya melatih lebih ramai jururawat mengendalikan kes Covid-19 di ICU bagi mengurangkan beban kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 6:28 PM