JOBBI dikehendaki tampil memberi keterangan di IPD Tawau bagi membantu siasatan polis. FOTO Ihsan Polis
JOBBI dikehendaki tampil memberi keterangan di IPD Tawau bagi membantu siasatan polis. FOTO Ihsan Polis
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Polis meminta seorang lelaki untuk tampil memberi keterangan berhubung video tular mengenai satu aktiviti berkumpulan yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Batu 2 Jalan Apas, baru-baru ini.

Jobbi Basri, 30, dengan alamat terakhirnya di Batu 2 Jalan Apas, di sini, dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihaknya menggesa lelaki terbabit segera tampil bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut.

"Orang ramai atau mana-mana individu yang mengenali serta mempunyai maklumat berkaitan lelaki ini diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

PETER menunjukkan gambar Jobbi Basri yang dikehendaki tampil untuk membantu siasatan. FOTO Abdul Rahemang Taiming
PETER menunjukkan gambar Jobbi Basri yang dikehendaki tampil untuk membantu siasatan. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan perhimpunan dihadiri lebih 100 individu, termasuk remaja dan kanak-kanak yang melakukan aktiviti tradisi mengejutkan penduduk kampung untuk bersahur pada malam terakhir Ramadan, Rabu lalu.

Menerusi rakaman itu juga, kumpulan remaja berkenaan dilihat berkumpul dan bersorak sambil bermain alat muzik tanpa pematuhan SOP PKPB yang sedang dilaksanakan di daerah Tawau.

Sementara itu, dalam kes berasingan Peter berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun keatas penganjur satu perhimpunan di Pusat Komersil Bha Zhong, dekat sini, atas kesalahan sama iaitu melanggar SOP PKPB.

"Kita juga sedang mengesan beberapa lagi individu lain iaitu peserta perhimpunan terbabit untuk diambil tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 9:14 PM