Abdul Rahemang Taiming


LEBIH 100 penduduk hilang tempat tinggal apabila 20 rumah musnah dalam kebakaran di Lorong Haji Sundu, Batu 2 Jalan Apas, dekat Tawau, 12.20 tengah hari ini.

Kebakaran dipercayai bermula daripada satu rumah sebelum merebak ke rumah berhampiran selain turut memusnahkan beberapa kenderaan dan sebuah kedai runcit.

Ketua Zon, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Sukur Hatta berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.28 tengah hari sebelum menghantar 40 anggota bersama dua jentera dan tiga utiliti ke lokasi.

"Sebaik sampai, kita dapati kebakaran membabitkan struktur rumah papan dengan api yang merebak dengan pantas berikutan keadaan cuaca panas terik selain tiupan angin agak kencang.

"Selain itu, anggota bomba juga menghadapi sedikit kesukaran disebabkan tekanan air yang rendah selain kedudukan pili bomba dan sumber air yang jauh," katanya ketika ditemui di lokasi.

Bagaimanapun katanya, kebakaran dikawal kira-kira sejam kemudian dan operasi memadam kebakaran turut dibantu oleh penduduk menggunakan sumber air terbuka.

"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa dan punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

 KEBAKARAN memusnahkan 20  rumah. FOTO Abdul Rahemang Taiming
KEBAKARAN memusnahkan 20 rumah. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 3:55 PM