ANGGOTA bomba Balai Bomba dan PPDA sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak yang dipercayai lemas di kawasan ternakan ikan sangkar di Sungai Selut, Semerak. FOTO Nor Amalina Alias
ANGGOTA bomba Balai Bomba dan PPDA sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak yang dipercayai lemas di kawasan ternakan ikan sangkar di Sungai Selut, Semerak. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Kanak-kanak lelaki warga Kemboja dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh di kawasan ternakan ikan sangkar di Sungai Selut, Semerak, Cherang Ruku, di sini, hari ini.

Mangsa, Saini Omar, 4, dikatakan menemani ibu bapanya Omar Zaini, 30, dan Tijah Imran, 26, sebelum disedari hilang pada 12.30 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali, Ahmed Mazdan Jusoh berkata, ibu mangsa memaklumkan dia sedang memasak di dalam kelong, manakala anaknya sedang bermain di luar.

Katanya, dia kemudian mendapati anaknya tiada di kawasan ternakan dan mengesyaki anaknya terjatuh ke dalam sungai.

"Kedudukan kawasan ternakan kira-kira 50 meter dari daratan, jadi ibu mangsa mengesyaki anaknya yang berada di kawasan pelantar terjatuh ke dalam sungai.

"Difahamkan mangsa memang sering mengikuti ibu bapanya bekerja di kawasan ternakan ikan ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini

Ahmed Mazdan berkata, bapanya kemudian melaporkan kejadian kepada majikan yang menghubungi bomba pada 1.30 tengah hari tadi.

Katanya, seramai tujuh anggota bomba dan lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Setakat ini kita menggunakan teknik pencarian di permukaan, dan menganggarkan kedalaman sungai adalah lebih dua meter.

"Bapa mangsa turut memaklumkan anak mereka yang juga anak tunggal pandai berenang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan, Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 7:54 PM