POLIS dibantu penduduk kampung mencari mangsa di Sungai Liwagu. FOTO ihsan polis
POLIS dibantu penduduk kampung mencari mangsa di Sungai Liwagu. FOTO ihsan polis
Recqueal Raimi


KANAK-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras di Kampung Kimolohing, Ranau, hari ini.

Mangsa dilaporkan hilang kira-kira 9 pagi dan dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Liwagu berhampiran rumahnya.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, ibu mangsa bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk memaklumkan kejadian.

Katanya, berdasarkan laporan pengadu dan siasatan awal, ibu mangsa berusaha mencari anaknya namun gagal dan menemui selipar mangsa di tepi sungai.

"Susulan itu, lima anggota polis dibantu lebih 20 penduduk kampung menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa di sekitar lokasi.

"Pada jam 11.30 pagi, penduduk kampung menemui mayat mangsa di celah batu sungai kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dipercayai terjatuh," katanya.

Menurutnya, pihak perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia.

"Polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 8:24 PM