Anggota bomba melakukan pencarian di kawasan sungai di Kampung Charuk Padanv berhampiran mangsa dilaporkan hilang sejak lima hari lalu. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba melakukan pencarian di kawasan sungai di Kampung Charuk Padanv berhampiran mangsa dilaporkan hilang sejak lima hari lalu. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas yang hilang berhampiran tebing sungai di Kampung Charuk Padang di sini, belum menemui sebarang petunjuk.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, SAR ke atas mangsa, Ek Liau Den Tin, 81, diteruskan di darat dan sungai di sekitar kampung.

"Belum ada petunjuk dan berdasarkan maklumat anaknya, mangsa mempunyai masalah nyanyuk dan sebelum ini tidak pernah keluar rumah sendirian.

"Anak mangsa juga memberitahu bapanya banyak menghabiskan masa di dangau di hadapan rumah dan mengesyaki bapanya mungkin terjatuh dalam sungai.

"Sungai itu berjarak 100 meter dari kawasan rumah mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Razak berkata, seramai 20 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) terbabit operasi hari ini.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya turut menggunakan khidmat anjing pengesan untuk menjejaki mangsa selain Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

SAR itu bermula 29 Oktober lalu susulan laporan kehilangan dibuat anak mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 5:08 PM