Halim antara rakan penghantar Grab yang masih bekerja di musim perayaan.
Halim antara rakan penghantar Grab yang masih bekerja di musim perayaan.
Mohammad Asyraf Khalib

SETIAP kali menjelang Syawal, orang ramai sinonim bercuti lebih awal bagi menyambut lebaran. 

Namun, jangan dilupa masih ada insan lain sanggup berhujan panas di jalanan mencari rezeki. 

Bukan tidak teruja untuk berhari raya, tetapi kebanyakan mereka terpaksa bekerja lebih waktu demi menyempurnakan keperluan keluarga. 

Kagum dengan kegigihan golongan ini, Harian Metro berpeluang bertemu seorang rakan penghantar Grab yang masih bekerja di minggu akhir puasa. 

Peluang tambah pendapatan

Tidak lokek berkongsi pengalaman, Halim Hakim, 27, berkata Ramadan dan Syawal adalah peluang terbaik bagi individu sepertinya menjana lebih pendapatan. 

"Tahun ini, lebih ramai pengguna memilih untuk membeli makanan dan barangan keperluan menerusi aplikasi Grab. 

"Ia secara tidak langsung membuka peluang kepada kami mencari rezeki lebih untuk menyambut raya bersama keluarga kami," kongsinya.

Selain faktor pandemik, Halim turut menyatakan rata-rata pelanggan gemar berbelanja menerusi aplikasi Grab kerana banyak tawaran menarik yang menjimatkan mereka. 

Alah bisa tegal biasa

Ditanya mengenai cabaran bekerja di bulan puasa, Halim tidak menafikan keadaan cuaca tidak menentu menyukarkan proses menghantar pesanan. 

"Panas terik dan perut yang kosong kadangkala menyebabkan kepala berasa pening, tetapi disebabkan sudah terbiasa, ia bukan halangan besar. 

"Pernah sekali saya terlambat menghantar pesanan kerana minuman pelanggan tumpah disebabkan jalan licin ketika hujan lebat. 

Walaupun banyak dugaan menimpa, Halim kekal komited memastikan semua pesanan pelanggannya dihantar dengan pantas dan sempurna. 

"Penat memang penat, tetapi selepas melihat pelanggan tersenyum setiap kali menerima pesanan, hati saya lega dan puas," katanya.

Pembakar semangat

ImageHalim meluangkan masa bersama isteri dan anak sulung selepas pulang kerja sekitar 10 malam.

Sementara itu, Halim turut meluahkan rasa syukur apabila mendapat layanan baik daripada pelanggan.

"Saya pernah diberi minuman untuk berbuka dan ada juga yang menghadiahkan sedikit wang sebagai tanda terima kasih.

"Walaupun jumlah terkumpul hanya RM16, tetapi nilainya cukup besar untuk saya," katanya.

Sepanjang sesi temubual, Halim turut berkongsi kegembiraan bahawa dia baharu sahaja menimang cahaya mata pertama, membuatkannya lebih bersemangat bekerja.

"Saya baru bergelar ayah dan anak sudah berusia lima bulan. Sejujurnya anak menjadi pembakar semangat untuk saya terus bekerja kuat," kongsi Halim.

Persediaan Syawal

Ditanya mengenai persediaan menyambut lebaran, Halim berkata faktor kekangan masa membuatkan dia dan isteri memilih untuk membeli belah menerusi platform e-dagang.

"Kami membeli barang keperluan raya secara dalam talian kerana lebih senang dan cepat. Ditambah pula anak masih kecil, tidak sesuai ke tempat orang ramai," katanya.

Dengan situasi ekonomi tidak menentu, Halim berharap seluruh rakyat Malaysia tampil menyokong individu sepertinya menjana lebih pendapatan.

"Tidak kira hujan atau panas, kami rakan penghantar Grab sangat seronok jika dapat banyak tempahan. Lebih banyak orang membeli di Grab, lebih banyak pendapatan kami peroleh," katanya.

Sempena Ramadan dan Syawal tahun ini, Grab menawarkan pelbagai promosi menarik untuk membantu rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri dengan selamat dan selesa di rumah. 

Justeru, rebutlah peluang berbelanja di Grab sepanjang musim perayaan ini. Selain mudah dan cepat, setiap ringgit yang anda belanjakan pasti membawa sinar dan makna kepada insan yang memerlukan. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 10:22 AM