BEG benih padi dan tag biru MADA yang dipalsukan. FOTO ihsan MADACorp
BEG benih padi dan tag biru MADA yang dipalsukan. FOTO ihsan MADACorp
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pihak tertentu dikesan mengambil kesempatan memalsukan beg benih padi dan tag biru Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd untuk mengaut untung mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd (MADACorp) Mohamad Anuar Pir Mohamad berkata, ia hasil serbuan pihak berkuasa yang menjumpai 76 kampit benih padi pelbagai jenama termasuk empat kampit menggunakan label keluaran syarikat berkenaan di premis di Jalan Sanglang, Jitra, 29 April lalu.

"Hasil siasatan mendapati, nombor siri beg benih yang dirampas menunjukkan kelulusan daripada Jabatan Pertanian untuk kegunaan Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd bagi kegunaan musim padi tahun 2019.

"Justeru itu, ia jelas menunjukkan bahawa benih padi terbabit bukan milikan Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd kerana nombor siri berkenaan tidak lagi digunakan bagi tahun ini," katanya.

Katanya, satu laporan polis dibuat MADACorp di Balai Polis Kota Setar Sabtu lalu bagi menafikan tuduhan yang tular di media sosial dan membantu sisatan penuh ke atas kes rampasan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya juga akan melantik peguam bagi membantu siasatan ke atas kes berkenaan.

"Berdasarkan pemerhatian MADACorp, beg benih padi yang dirampas bukan milik MADACorp.

"Terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan dengan memalsukan beg benih padi dan tag biru Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd," katanya.

Harian Metro 30 April lalu melaporkan, Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Azman Mahmood berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pembabitan orang dalam selepas pihak tertentu dikesan menjual benih padi sah tanpa kebenaran.

Katanya, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan ke atas mereka yang didapati terbabit sama ada secara langsung atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 3:06 PM