GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) mengambil tindakan tegas kepada pengeluar benih yang gagal memenuhi kontrak dan ejen yang memanipulasi harga.

Pengerusinya Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, selain itu pihaknya meminta pengeluar padi menjalankan tanggungjawab mereka dengan memastikan peladang mendapat bekalan benih sah pada harga munasabah dan di dalam tempoh waktu yang sewajarnya.

Katanya Mada juga menggesa supaya pengeluar memberi keutamaan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mada sebagai pengedar kepada pesawah.

"Pengeluaran benih padi secara sah sebanyak 14,517 tan metrik dijangka mencukupi dan melebihi keperluan bagi kegunaan di kawasan Mada sebanyak 14,096 tan metrik.

"Kita juga mengarahkan semua PPK Mada membuat pesanan awal stok benih padi sah daripada pengeluar.

"PPK Mada mula membuat pesanan kepada pengeluar benih padi sah serta ejen swasta sejak Ogos hingga penghujung September 2020 sebanyak 2,452.86 tan metrik," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan wujud orang tengah dalam kalangan orang perseorangan yang menjadi ejen menjual benih padi tidak sah dengan harga mahal semata-mata mahu mengaut untung mudah.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Azman Mahmood berkata, ia menyebabkan penanaman padi berdepan masalah kerana bekalan benih padi yang lebih daripada mencukupi, disembunyikan bagi tujuan itu.

Mengulas mengenainya, Ahmad Tarmizi yang juga Ahli Parlimen Sik berkata, sebelum bermulanya musim penanaman 2/2020, Mada secara proaktif mengambil beberapa langkah dan tindakan awal bagi memastikan ia tidak tergendala.

Katanya, ia termasuk mesyuarat berkala bersama Mardi, Jabatan Pertanian Malaysia dan tiga pengeluar benih padi sah yang berpusat di kawasan Muda iaitu Syarikat Perniagaan Peladang Mada Sdn Bhd (MadaCorp), Pertama Padi Sdn Bhd dan KB Seri Merbok Sdn Bhd.

"Sebagai rekod, untuk pengeluaran benih padi sah, pengeluar KB Seri Merbok Sdn Bhd mempunyai baki kuota 13,478.98 metrik tan, Pertama Padi Sdn Bhd (5,605.74 metrik tan) dan Mada Corp mempunyai baki kuota sebanyak 3,129.06 metrik tan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 6:52 PM