MERAIKAN kejayaan menghasilkan program Bayer SeedGrowth.
MERAIKAN kejayaan menghasilkan program Bayer SeedGrowth.
OTHMAN menaiki jentera penuai padi.
OTHMAN menaiki jentera penuai padi.
Oleh Mohamad Hussin


Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Bayer­Co (Malaysia) Sdn Bhd (Bayer) berjaya mengeluarkan benih padi kering perindustrian terawat yang pertama di dunia melalui program Bayer SeedGrowth untuk meningkatkan mutu benih padi di negara ini.

MADA melalui anak syarikatnya, Perniagaan Peladang MADA (MADACORP) memanfaatkan program Bayer SeedGrowth untuk membantu pesawah mengukuhkan pengeluaran beras dengan cara yang lebih selamat dan cekap.

Bayer SeedGrowth ialah sistem bersepadu penuh dan menyeluruh bagi aplikasi atas benih dan menggabungkan kekuatan teras Bayer dalam produk, salutan, perkhidmatan dan peralatan.

Antara kelebihan penyelesaian Bayer SeedGrowth ialah keupayaan menggalakkan pertumbuhan tanaman yang wajar (percambahan dan kemunculan anak benih) termasuk keupayaan menghadapi wabak penyakit selepas 50 hingga 60 hari disemai.

Pengerusi MADA dan MADACORP, Datuk Othman Aziz berkata, Bayer SeedGrowth ialah sebuah mesin inovatif untuk mengaplikasikan produk rawatan pada benih padi.

“Mesin ini membolehkan pesawah merawat benih padi masing-masing dengan jitu dan menggantikan amalan membeli benih padi dan merawat benih sendiri.

“Penanam padi di negara ini semakin tua. Usia purata penanam padi di kawasan MADA ialah 60 tahun. Berbekalkan teknologi Bayer SeedGrowth untuk rawatan benih, penanam kini boleh membeli benih terawat yang sedia digunakan daripada MADACORP, sekali gus memudahkan kerja pengeluar benih dan penanam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penuaian Padi Bayer SeedGrowth di Sungai Berembang, Perlis, baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus Negara Bahagian Sains Tanaman Bayer di Malaysia dan Indonesia, Mohan Babu.

Othman berkata, sejak memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara MADACORP dan Bayer bagi kerjasama dalam aspek penambahbaikan hasil padi pada 2014, kemajuan positif telah dicapai.

“Contohnya, Bayer memasang peralatan SeedGrowth yang canggih di kilang benih padi MADACORP di kawasan Alor Setar.

“Usaha sama strategik ini sejajar dengan komitmen MADA untuk merombak industri padi di Malaysia menjadi sektor moden, dinamik dan kompetitif di peringkat antarabangsa.

“Saya gembira menyaksikan hasil kerjasama rapat antara awam dan swasta yang akan mengukuhkan pakatan teknikal dan perkongsian ilmu demi pengeluaran beras lestari di negara ini,” katanya.

Othman berkata, pada 2014 dan 2015, MADA, MADACORP serta 130 penanam menjalankan program ujian komersial secara meluas dengan pakej Bayer Much More Rice (termasuk program Bayer SeedGrowth) serta ditambah penyelesaian perlindungan tanaman syarikat di atas sebidang tanah seluas 53 hektar yang disokong Bayer.

“Penanam dapat melihat sendiri bagaimana program ini membantu mereka meningkatkan hasil tanaman dan pendapatan sebanyak 22 hingga 28 peratus berbanding apa yang mereka peroleh dengan amalan rawatan benih padi sedia ada.

“Berikutan kejayaan penanaman ujian dan penuaian, kedua-dua pihak menandatangani satu lagi perjanjian pada Mei, tahun lalu.

“Ia sekali gus membawa usaha itu ke peringkat lebih tinggi dengan kejayaan pengeluaran dan pengkomersialan benih padi kering perindustrian terawat pertama di dunia menggunakan teknologi Bayer SeedGrowth pada September tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, padi berkenaan kini sedia untuk dituai dan akan membawa manfaat kepada 900 penanam di tanah seluas 2,000 hektar di Alor Setar.

Sementara itu, Mohan berkata, kejayaan penuaian dengan hasil lumayan melalui penggunaan teknologi inovatif itu membantu syarikat dalam memberikan sumbangan ke arah pertanian lestari di Malaysia.

“Selain itu, ia meningkatkan capaian kepada penyelesaian baru dan serba maju untuk membantu penanam padi meningkatkan kestabilan hasil pulangan dan produktiviti.

“Kami gembira kerana kepakaran produk dan teknologi Bayer dalam sektor pertanian dapat membantu merealisasikan penanaman lestari di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 9:56 AM