GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pelajar asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) dan Kolej Vokasional (KV) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibenarkan pulang sempena cuti perayaan Aidilfitri.

KPM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, kebenaran itu dilakukan secara berperingkat mulai 6 Mei ini bagi sekolah Kumpulan A dan 7 Mei bagi sekolah Kumpulan B.

Bagaimanapun, menurut KPM, pelajar yang dalam tempoh kuarantin perlu kekal di asrama sehingga tamat tempoh kuarantin begitu juga pelajar di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Pelajar yang dibenarkan pulang perlu menaiki bas yang disediakan oleh pihak sekolah atau dijemput oleh ibu bapa dan penjaga masing-masing.

"Mereka juga boleh menggunakan pengangkutan udara atau air bagi negeri di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan atau menggunakan kenderaan sendiri (hanya untuk pelajar Tingkatan Enam dan pelajar KV)," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak sekolah akan memaklumkan jadual pergerakan pulang pelajar kepada ibu bapa dan penjaga.

Bagi ibu bapa yang menjemput anak perlu mendapatkan surat pengesahan daripada pihak sekolah bagi tujuan pergerakan rentas negeri, namun kebenaran itu terhad kepada dua orang dalam setiap kenderaan.

KPM juga menyediakan garis panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang Sempena Hari Raya Aidilfitri 2021 yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang https://www.moe.gov.my.

Kenyataan itu turut memaklumkan pelajar perlu kembali ke asrama sebelum atau pada 12 Jun bagi sekolah Kumpulan A dan sebelum atau pada 13 Jun bagi sekolah Kumpulan B seperti diumumkan sebelum ini.

Sekolah Kumpulan A adalah bagi negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala sekolah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 8:56 PM