Nur Soffea Al Insyirah Muhammad menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat komplikasi jantung. Gambar ihsan keluarga. FOTO IHSAN KELUARGA
Nur Soffea Al Insyirah Muhammad menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat komplikasi jantung. Gambar ihsan keluarga. FOTO IHSAN KELUARGA
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Nur Soffea Al Insyirah terpaksa ditidurkan mulai kelmarin kerana keadaan jantungnya semakin lemah," kata suri rumah, Nor Afiqah Mohammad Hashim, 27.

Nor Afiqah berkata, usia bayinya baru 17 hari, namun Nur Soffea kini menjalani rawatan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas dikesan mengalami beberapa komplikasi berkaitan jantung.

Menurutnya, malah doktor juga menyatakan masalah dialami Nur Soffea satu dalam sejuta di negara ini.

Katanya, Nur Soffea dikesan mengalami masalah Long Segment Coarctation of Aorta iaitu saluran aorta arteri yang sempit selain dinding jantung yang berlubang yang digelar Ventricular Septal Defect (VSD) serta saluran darah jantung dalam keadaan terbalik iaitu Transposition of Great arteries (TGA).

"Anak syurga kami dilahirkan pada 14 April lalu dan sejurus dilahirkan, denyutan jantung Nur Soffea Al Insyirah laju dan luar biasa.

"Bacaan oksigen menunjukkan hanya sekitar 80 peratus sahaja dan Nur Soffea terus dipasangkan dengan alat headbox serta bacaan oksigen terus dipantau rapi.

"Nur Soffea juga menjalani pemeriksaan imbasan X dan pada awalnya disyaki mengalami jangkitan paru-paru," katanya.

Nor Afiqah berkata, pada hari ketiga kelahirannya, doktor mengesahkan bayinya mengalami tiga jenis masalah jantung yang serius dan perlu menjalani tiga pembedahan dalam tempoh masa terdekat dan secara berperingkat.

Menurutnya, pada awalnya doktor merujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) namun difahamkan terpaksa menunggu giliran bagi melakukan pembedahan.

Katanya, doktor kemudian menyarankan Nur Soffea dirujuk ke pakar jantung di Hospital Glenagles Ampang bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

"Kami berdua buntu dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan kerana seumur hidup tidak pernah terlintas bahawa kami akan mendapat ujian seberat ini.

"Difahamkan kos setiap pembedahan Nur Soffea mencecah RM45,000 hingga RM50,000 atau nilai keseluruhan RM135,000 hingga RM150,000.

"Kami buntu memikirkan keadaan cahaya mata tunggal kami apatah lagi suami hanya bekerja sebagai ejen syarikat jualan langsung dengan pendapatan RM1,800 sebulan," katanya yang berasal dari Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Nor Afiqah berkata, dia dan suami, Muhammad Abdul Rahman, 33, ingin memohon orang ramai mendoakan kesihatan Nur Soffea Al Insyirah.

"Harapan kami adalah untuk menyelamatkan bayi kami serta dia menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain pada masa depan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Nur Soffea boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun miliknya di Bank Islam 01135020046214.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 10:01 AM