KOMPAUN bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh PKP yang diterima peniaga. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KOMPAUN bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh PKP yang diterima peniaga. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kompaun RM50,000 yang dikeluarkan oleh pihak polis terhadap tiga peniaga Ahad lalu mengikut garis panduan ditetapkan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kompaun itu dikeluarkan kerana peniaga tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, memandangkan Kelantan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, polis mengeluarkan kompaun selepas pihaknya mendapat pelbagai aduan daripada penduduk setempat termasuk menerusi e-mel.

"Jika tiada aduan daripada penduduk setempat, polis tidak akan tahu apa yang berlaku di kawasan kampung berkenaan. Selepas banyak aduan diterima, polis menjalankan tugas mengikut SOP yang ditetapkan.

"Kompaun yang dikeluarkan itu mengikut garis panduan yang ditetapkan. Peniaga atau mereka yang mendapat surat kompaun boleh membuat rayuan kerana jumlah itu belum muktamad.

"Saya difahamkan, jumlah kompaun kepada tiga peniaga itu dapat dikurangkan dengan banyak selepas mereka membuat rayuan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun saya tidak tahu jumlah sebenar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diminta mengikut SOP memandangkan Kelantan masih dalam PKP bagi mengekang penularan Covid-19 yang meningkat setiap hari.

Katanya, masyarakat juga diminta supaya siasat dahulu dan fahami kenapa kompaun itu dikeluarkan kepada peniaga berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, tiga peniaga dikenakan kompaun RM50,000 pada Ahad lalu kerana menjalankan operasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) di Pengkalan Chepa.

Mereka membabitkan peniaga burger, colek dan runcit yang dikenakan kompaun antara jam 11.10 hingga 11.40 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 2:48 PM