GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan peperiksaan awam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan membatalkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini disambut baik semua pihak yang menyifatkannya sebagai langkah pembaharuan dalam akademik.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, KPM mempunyai alasan tersendiri dan munasabah untuk tidak meneruskan kedua-dua peperiksaan awam itu.

"Bagaimanapun, saya merasakan KPM perlu menerangkan secara terperinci kepada ibu bapa sebab dan tempoh pemansuhan ini bagi mengurangkan kekhuatiran semua pihak.

"Persoalan asas ini perlu diterangkan menerusi satu pekeliling khas supaya semua pihak jelas apa sebenarnya pendirian KPM di sebalik pemansuhan ini terutama ibu bapa," katanya kepada Harian Metro.

Dr Mohamad Ali berkata, keputusan itu yang diumumkan Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin semalam juga menunjukkan keprihatinan KPM yang mendengar keluh kesah, kebimbangan dan cadangan pihak berkepentingan ketika sesi libat urus diadakan sebelum ini.

"Apa dikeluhkan penggiat bidang ini antaranya pendidikan di Malaysia selalu menekankan kepada akademik dan peperiksaan semata-mata yang tertumpu pada akhir tahun, manakala penilaian lain kurang diberi tumpuan," katanya.

Dr Radzi dalam pengumumannya pada sidang khas semalam memaklumkan KPM akan memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun ini manakala PT3 bagi 2021 dibatalkan.

Keputusan itu diambil berdasarkan hasil penelitian, kajian dan libat urus dijalankan secara menyeluruh pihaknya bersama 1,700 pihak berkaitan pendidikan, membabitkan guru besar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kesatuan dan persatuan pendidikan.

Susulan keputusan itu, katanya, kaedah pentaksiran murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga akan dilakukan menerusi Pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PPBS) manakala kemasukan mereka ke sekolah berasrama dibuat berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Bagaimanapun, Dr Mohamad Ali turut menyuarakan keluhan ibu bapa yang tertanya-tanya kenapa keputusan pemansuhan tidak dilakukan Januari lalu berikutan ramai antara mereka sudah melakukan persiapan awal buat anak dengan membeli buku rujukan dan menghantar ke pusat tuisyen.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan menyambut baik keputusan pemansuhan UPSR kepada satu bentuk pentaksiran baharu yang lebih holistik dan memenuhi aspirasi falsafah pendidikan kebangsaan.

"Keputusan ini adalah satu keputusan strategik dari sesi libat urus KPM dengan semua pihak yang terkait dengan pendidikan khususnya kesatuan dan badan bukan kerajaan pendidikan.

"iGuru menyambut baik keputusan ini dan berharap ia dapat melegakan kebimbangan ibu bapa terhadap peperiksaan UPSR.

"Pengumuman ini perlu disambut dengan positif oleh semua pihak dan melihat kerangka pendidikan negara maju ke hadapan," katanya.

Menurutnya, ia juga membolehkan kerangka fikir guru terhadap murid lebih universal dan melihat setiap murid ada potensi dan bakat yang boleh dikembangkan sesuai dengan keperluan pendidikan abad 21 dan negara menuju Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"Dalam hal ini pihak iGuru menggesa KPM memantapkan sistem pendidikan sedia ada dengan penambahbaikan dari sudut pedagogi untuk mengelak keciciran murid dari pendidikan apabila berlaku kenaikan daripada sekolah rendah ke sekolah menengah.

"iGuru meminta KPM menjelaskan bentuk konsep pentaksiran baharu supaya dapat difahami semua pihak terutama para guru, ibubapa dan pelajar supaya pelaksanaan ini berjalan secara terancang dan tidak dilihat terburu- buru tanpa persediaan yang cukup diperingkat pelaksanaanya nanti," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 12:35 PM