IRA (kiri) dan Liow (tengah) pada sidang media berkaitan penipuan pinjaman wang dalam talian. FOTO Omar Ahmad.
IRA (kiri) dan Liow (tengah) pada sidang media berkaitan penipuan pinjaman wang dalam talian. FOTO Omar Ahmad.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Niat seorang gadis mahu meminjam wang RM10,000 untuk membantu datuknya yang sedang sakit, dan kegunaan perkahwinannya lebur apabila ditipu sebuah syarikat pemberi pinjaman wang dalam talian.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ira dan bekerja pengasuh berkata, taktik pemberian pinjaman itu sangat licik dengan memintanya membuat pembayaran tambahan, deposit, yuran dan tawaran sehingga kerugian RM10,107.

"Saya memohon pinjaman RM10,000 selepas melihat iklan dalam sebuah laman web yang menawarkan pinjaman secara dalam talian pada 13 April lalu.

"Mereka meminta saya mengisi maklumat dan jumlah pinjaman sebelum seorang lelaki, menghubungi saya meminta wang RM600 untuk proses pinjaman.

"Selepas itu, seorang lelaki lain dari syarikat sama menghubungi saya untuk minta pembayaran pendahuluan untuk enam bulan sebanyak RM1,962," katanya pada sidang media di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya di sini, hari ini.

Menurut Ira, setelah membayar wang pendahuluan itu, seorang lagi lelaki menghubunginya dan memaklumkan permohonannya tidak layak kerana kadar kredit yang rendah.

Katanya, lelaki itu menawarkan bantuan, tetapi dia perlu membayar lagi wang untuk menaikkan kadar kredit itu supaya permohonan diluluskan.

"Selepas itu, pengurus syarikat itu pula menghubungi saya dan meminta saya meminjam sebanyak RM20,000, serta meminta bayaran RM2,000 untuk surat perjanjian peguam.

"Saya minta mereka membatalkan pinjaman itu, tetapi saya diarah membayar denda dan pengurus itu turut ugut saya.

"Saya sudah membuat pembayaran lapan transaksi dalam talian dalam tempoh 13 hingga 17 April lalu, membabitkan kerugian RM10,107 yang diperoleh dengan meminjam daripada majikannya dan keluarga," katanya

Sementara itu, Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung memberitahu, Ira ditipu sindiket penipuan yang mencari mangsa melalui pinjaman dalam talian.

"Saya menerima banyak aduan mengenai kes penipuan seperti ini. Pihak polis dan kerajaan juga diharap mengambil tindakan segera membendung kegiatan ini, syarikat itu masih aktif dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 11:19 AM