Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan kereta melanggar lampu isyarat merah sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan kereta melanggar lampu isyarat merah sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal terjatuh selepas dilanggar lari sebuah kereta Honda City di satu persimpangan lampu isyarat, semalam.

Kejadian itu dikatakan berlaku jam 5.36 petang semalam berdasarkan rakaman kamera perakam video (dashcam) yang tular di media sosial.

Rakaman berdurasi 32 saat itu menunjukkan kereta berkenaan melanggar lampu isyarat merah sebelum terbabit kemalangan dengan motosikal yang datang dari arah kanan.

Kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal terjatuh, namun tidak dapat dipastikan kecederaannya.

Berdasarkan maklumat yang tular, kejadian itu dikatakan berlaku di persimpangan lampu isyarat di kawasan Selayang, Gombak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan mengenai kejadian.

"Tiada laporan, kita akan buat semakan sama ada benar ia berlaku di Selayang," katanya kepada pemberita hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 4:05 PM