RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular media sosial
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular media sosial
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Pemandu kereta yang melanggar seorang penunggang motosikal di lampu isyarat berhampiran Selayang di sini, sudah tampil bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pemandu berusia 33 tahun itu tampil ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada 5 petang tadi.

"Berdasarkan rakaman percakapan lelaki berkenaan, mengaku bahawa tidak perasan lampu isyarat di tempat kejadian masih merah.

"Apabila berlaku kemalangan jalan raya, pemandu kereta terbabit terkejut dan berasa takut lalu terus balik ke rumah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, ujian saringan air kencing ke atas pemandu kenderaan berkenaan dijalankan dan didapati negatif.

"Polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini serta maklumat penunggang motosikal diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Zharif Zakaria di talian 013-2969222 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,"katanya.

Terdahulu, video sebuah kereta melanggar penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat tular di media sosial.

Kereta Honda City dipandu lelaki terbabit juga didapati melanggar lampu isyarat merah.

Berita berkaitan

Langgar lampu merah, kereta rempuh motosikal

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 10:37 PM