Hidayatidayu Razali

Bachok: Kasihnya kepada haiwan peliharaan membuatkan wanita ini tekad menceburi bidang dipelopori kaum lelaki, sejak dua tahun lalu.

Bagi Ayuni Syazwani Ismail, 28, kerja sebagai jurusuntik permanian beradas (AI) swalaku atau persendirian yang memasukkan baka lembu, kambing, kerbau dan biri-biri sesuai dengan jiwanya.

Menurutnya, kerjaya itu memberi masa depan cerah memandangkan tidak banyak persaingan dan ramai penternak memerlukan perkhidmatannya, lebih-lebih lagi kerja itu dilakukan bersama suaminya, Mohamad Hilmi Abdul Halim, 30.

Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri Iskandar itu berkata, hanya baka terpilih sahaja disuntik kepada haiwan termasuk lembu hybrid, kambing hybrid, kerbau dan biri-biri yang diimport kebanyakan dari Perancis, Australia, Belgium, Ireland dan tempatan.

Ibu kepada seorang anak ini berkata, tugas memasukkan baka kepada haiwan peliharaan itu sangat mencabar, namun dia tidak gentar untuk meneruskan demi masa depan.

"Ramai bimbang kerana kerja ini perlu berdepan dengan haiwan ternakan dan ada masanya tidak boleh menjangka perangai mereka.

"Ada haiwan garang dan berisiko sekiranya mereka menendang kita dari belakang, tetapi saya berserah kepada Allah SWT dengan segala kemungkinan demi mencari rezeki halal.

"Pernah suami saya kena tendang dengan lembu liar hingga pecah mulut, namun pengalaman suami itu tidak mematahkan semangat saya," katanya ketika ditemui di Kampung Pak Elong, Jalan Rekang, di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun kerjaya itu jauh lari daripada bidang pengajian, dia tidak pernah menyesal kerana dapat memberi khidmat kepada penduduk kampung mengembangkan lagi baka haiwan peliharaan.

Katanya, setakat ini dia bersyukur apabila penduduk kampung berpuas hati dengan khidmatnya dan suami yang bergilir memasukkan baka ke dalam induk haiwan peliharaan mereka untuk memastikan ia berkembang.

AYUNI Syazwani Ismail, 28, seorang jurusuntik permanian beradas (AI) menunjukkan benih permanian beradas (AI)  untuk disuntik kepada haiwan ternakan termasuk lembu, kambing, kerbau dan biri-biri ketika ditemui di Kampung Pak Elong, Jalan Rekang, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AYUNI Syazwani Ismail, 28, seorang jurusuntik permanian beradas (AI) menunjukkan benih permanian beradas (AI) untuk disuntik kepada haiwan ternakan termasuk lembu, kambing, kerbau dan biri-biri ketika ditemui di Kampung Pak Elong, Jalan Rekang, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Tugas memasukkan baka memerlukan kepakaran dan ketelitian terutama perlu tahu waktu sesuai bagi memastikan haiwan berkenaan mengandung selepas dimasukkan benih.

"Jika tidak kena masa, haiwan itu tidak akan mengandung dan ia merugikan masa dan kewangan penternak kerana kos memasukkan baka adalah RM100.

"Walaupun kos berkenaan tidak mahal, penternak ini kebanyakan orang kampung, jadi mereka berharap benih yang dimasukkan itu menjadi.

"Satu kepuasan bagi saya dan suami jika benih dimasukkan menjadi dan dapat melahirkan baka besar serta berkualiti kerana mereka akan memperoleh keuntungan tinggi berikutan anak lembu hybrid baru dilahirkan berharga lebih RM1,000 berbanding baka kampung bawah RM1,000," katanya.

Ayuni Syazwani berkata, untuk memahirkan diri dia perlu menjalani kursus bersama suaminya yang berpengalaman dalam bidang itu selama lapan tahun dan kursus anjuran Jabatan Perkihdmatan Veterinar (JPV) sebelum memperoleh sijil pada tahun lalu.

Menurutnya, walaupun baru setahun menceburi bidang itu, dia sudah memasukkan baka kepada lebih 200 ekor haiwan, manakala suaminya memasukkan baka lebih 15,000 ekor haiwan dengan purata 2,000 ekor setahun.

Katanya, kerjaya itu masih belum meluas kerana tidak ramai tahu ia boleh dijadikan sebagai satu pekerjaan yang memberi pendapatan lumayan, namun kepada mereka yang berminat boleh berkursus dengan JPV.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 2:10 PM