CHUNG Chee Yang ketika di bawa ke Mahkamah Majistret Klang semalam. FOTO BERNAMA
CHUNG Chee Yang ketika di bawa ke Mahkamah Majistret Klang semalam. FOTO BERNAMA
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan yang sebelum ini didakwa memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya dengan menggunakan pistol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Chung Chee Yang, 43, yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja-T biru dan seluar putih, didakwa atas empat pertuduhan mencederakan kedua-dua mangsa yang kini bekas pekerjanya.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik saja empat pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhamad Fared Abdul Latif.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Chung didakwa dengan sengaja mencederakan Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam Zulkepli, 44, di lif serta lobi One KL Kondominium antara jam 8.40 hingga 8.43 malam 13 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar, menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana kes mendapat perhatian umum, baru-baru ini, dan menyentuh sensitiviti agama serta masyarakat secara keseluruhan.

Beliau berkata, kes itu membabitkan pertuduhan serius membabitkan kesalahan antara majikan dengan pekerja.

"Mangsa seharusnya dilindungi dan dilayan secara kemanusiaan oleh tertuduh dalam kes ini.

"Kedua-dua mangsa sudah lama berkhidmat dengan tertuduh, iaitu antara tiga hingga tujuh tahun, dan tidak seharusnya diperlakukan sebegitu," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam, Abdul Hakeem Aiman, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung isteri dan empat anak.

"Tertuduh turut menghidap kanser usus, darah tinggi dan insomnia, selain perlu menjaga ibu bapa yang uzur," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 2 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 12:51 PM