Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya 3 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Daya di sini, diarah tutup bermula hari ini, susulan terdapat kes positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang berkata, kontak rapat di kedua-dua sekolah itu membabitkan guru dan pelajar sudah diarahkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Menurutnya, kes itu dipercayai berpunca daripada murid dan pelajar iaitu adik-beradik di kedua-dua sekolah berkenaan mendapat jangkitan daripada nenek mereka.

"Saya tiada maklumat keseluruhan yang sudah menjalani ujian saringan, begitu juga dengan jumlah penutupan berapa banyak sekolah sehingga kini.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa pantau, jika ada jangkitan, sekolah akan diarah tutup.

"Saya juga mengambil maklum mengenai aduan yang diterima daripada wakil rakyat supaya kerajaan negeri mempertimbangkan penutupan sekolah di daerah tertentu. Di peringkat kerajaan negeri, kita sentiasa memantau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Bubur Lambuk JohorFM Pandu Lalu di pekarangan Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar di sini, hari ini.

Mazlan berkata, keadaan masih terkawal dan masyarakat diminta untuk tidak mencetuskan kebimbangan susulan berlaku penularan kes Covid-19.

Seramai 159 pelajar dari lima sekolah di sekitar daerah ini diarahkan menjalani saringan Covid-19 di Pusat Sehenti Penilaian Covid-19 (OSCAC) Pasir Gudang dan Bukit Indah di sini, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, langkah itu sebagai tindakan kawalan dijalankan bagi memastikan tiada penularan Covid-19 berlaku di dalam sekolah yang dikenal pasti.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 6:04 PM