Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga, di sini, diarah tutup selama lapan hari selepas terdapat seorang guru wanita disahkan positif Covid-19.

Arahan penutupan itu dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) yang berkuat kuasa mulai hari ini.

Pengarah JPNPP, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, penutupan sekolah dibuat bagi membendung penularan pandemik Covid-19 daripada menjadi lebih serius.

"Setakat ini, sekolah itu akan ditutup selama lapan hari dan sebarang keputusan lain akan dibuat selepas kami bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Buat masa ini, kami belum mendapat laporan lengkap dari SK Permatang Janggus, namun dimaklumkan semua murid di situ perlu menjalani ujian saringan Covid-19, hari ini," katanya ketika dihubungi.

Tinjauan dilakukan di luar pekarangan sekolah mendapati rata-rata ibu bapa dan penjaga menjadi cemas ketika menunggu anak mereka menjalani ujian saringan Covid-19.

Ibu bapa berada di sekolah terbabit selepas mereka menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp bahawa anak mereka diarahkan melakukan ujian berkenaan.

Ini berikutan seorang guru wanita berusia 40-an disahkan positif Covid-19.

Guru wanita itu dilaporkan tidak sihat ketika di sekolah sebelum dia pergi mendapatkan rawatan di hospital di Kedah.

Difahamkan guru wanita itu adalah isteri kepada seorang ahli politik di Kedah yang pergi berkempen di Sabah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, baru-baru ini.

Kira-kira 600 murid di sekolah berkenaan menjalani ujian terbabit dan mereka diarahkan kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian.

Situasi Covid-19 di Pulau Pinang pada ketika ini merekodkan jumlah kumulatif 144 kes dengan 137 kes sembuh, lima kes aktif dan dua kematian.

KAKITANGAN kesihatan melakukan ujian saringan ‘swab test’ terhadap murid SK Permatang Janggus, Penaga selepas terdapat seorang guru wanita disahkan positif Covid-19. FOTO Nur Izzati Mohamad
KAKITANGAN kesihatan melakukan ujian saringan ‘swab test’ terhadap murid SK Permatang Janggus, Penaga selepas terdapat seorang guru wanita disahkan positif Covid-19. FOTO Nur Izzati Mohamad

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 2:58 PM