DATUK Najmi Ahmad berbual dengan penduduk yang mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin. FOTO Safuri Kamarudin
DATUK Najmi Ahmad berbual dengan penduduk yang mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Ekoran penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan warga sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Teloi Kanan, di sini, diarahkan tutup mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, SK Teloi Kanan menjadi sekolah kedua selepas Maktab Mahmud Baling yang diarah tutup mulai Sabtu lalu apabila 11 pelajarnya dilaporkan positif Covid-19 membabitkan Kluster Jalan Weng.

"Berikutan penularan pandemik Covid-19, kita terpaksa mengarahkan penutupan SK Teloi Kanan mulai hari ini sehingga 24 April (Sabtu).

"Keputusan itu dibuat bagi membolehkan kerja pembersihan dan disinfeksi dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling," katanya ketika ditemui di Dewan Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Najmi berkata, semua murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana SK Teloi Kanan dikehendaki menjalani proses kuarantin di rumah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan pihak berkuasa.

"Guru yang bekerja dari rumah boleh melaksanakan proses pengajaran dan pelajaran berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh sekolah tidak beroperasi.

"Dalam tempoh bercuti kerana sekolah ditutup, ibu bapa juga boleh membantu murid belajar melalui kaedah dalam talian sepenuhnya," katanya.

Mengulas mengenai keadaan semasa di Maktab Mahmud Baling, beliau menjelaskan seramai 243 pelajar sedang menjalani proses kuarantin di asrama sehingga 25 April (Ahad).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 12:19 PM