FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Tiga sekolah di negeri ini masih ditutup berikutan penularan pandemik Covid-19 yang dikesan berlaku dalam kalangan warganya.

Sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al-Bukhary dan SMK Sultanah Bahiyah di Kota Setar serta Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang di Baling.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama Kedah Datuk Najmi Ahmad berkata, murid dan pelajar sekolah terbabit kini menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian kecuali di SK Dalam Wang berikutan capaian Internet di kawasan itu kurang memuaskan.

"Kita sudah mengarahkan pengurusan SK Dalam Wang menjalankan sesi PdP yang tertangguh secara manual di mana guru menyediakan tugasan dan waris akan mengambilnya di lokasi ditetapkan.

"Memang kita menerima sedikit rungutan daripada waris tetapi kita berharap ibu bapa memahami keadaan yang kita hadapi sekarang," katanya ketika ditemui pada Program Musaadah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di hadapan Penjara Alor Setar di sini, hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan pada 17 Oktober lalu, mengarahkan SK Dalam Wang yang terletak di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Kampung Padang Che Mas, Baling ditutup mulai 18 Oktober sehingga 31 Oktober.

Menurut kenyataan itu, penutupan sekolah itu membabitkan 22 guru dan anggota kumpulan pelaksana serta 214 murid.

Sementara itu, melalui pekeliling dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah pada 24 Oktober, SMK Syed Mohamad Al-Bukhary dan SMK Sultanah Bahiyah diarah tutup selama tujuh hari bermula 25 hingga 31 Oktober.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:19 PM