GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan tujuh sekolah lagi akan ditutup mulai esok, menjadi keseluruhan 10 sekolah ditutup di negeri ini akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengarahnya Rozaini Ahmad, berkata tujuh sekolah terbabit terpaksa ditutup selama dua hari selepas ada dalam kalangan warganya dikesan positif Covid-19.

"Sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pumpong, SK Dato Wan Mohd Saman di Kota Setar dan SK Dato Wan Kemara di Kubang Pasu.

"Sekolah lain yang turut ditutup ialah SK Hajj Abdul Rahman di Pendang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas serta SK Junjong di Kulim," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Rozaini berkata, kesemua pelajar dikehendaki kuarantin di rumah dan mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dengan sekolah akan dibuka kembali Khamis ini.

"Keputusan ini dibuat bagi membolehkan kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) kawasan sekolah terbabit," katanya.

Sementara itu, sekolah lain yang masih kekal ditutup ialah SMK Agama Kedah, Mergong di Kota Setar selain Maktab Mahmud Baling dan SMK Baling.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 35 pelajar Maktab Mahmud Baling dikesan positif Covid-19 menyebabkan pusat pendidikan itu terpaksa ditutup sejak 18 April lalu.

Rabu lalu pula, seramai 15 pelajar SMK Agama Kedah dikesan positif sebelum lima pelajar SMK Baling turut disahkan positif Khamis lalu, menyebabkan sekolah terbabit terpaksa ditutup sehingga 28 April.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 6:41 PM