Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kementerian Pendidikan (KPM) belum memutuskan untuk menutup mana-mana sekolah di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ini kerana pihaknya percaya pengoperasian sekolah tidak berdepan masalah jika semua pihak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kenyataan daripada Menteri Kesihatan, Datuk Sri Adham Baba sebelum ini sangat cukup jelas menyatakan cara SOP perihal pengoperasian sekolah.

"Kalau semua pihak mengamati dan melaksanakan mengikuti SOP yang sudah kita tetapkan secara sebaik-baiknya maka saya percaya pengoperasian sekolah tidak akan menghadapi masalah yang terlampau besar.

"Kita hendak tekankan di sini bahawa kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan pelajar," kepada pemberita selepas menghadiri majlis menyerahkan sumbangan untuk lukisan karya Master Cheng Shaoru's di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di sini hari ini.

MAH pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan untuk lukisan karya Master Cheng Shaoru's. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
MAH pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan untuk lukisan karya Master Cheng Shaoru's. FOTO Balqis Jazimah Zahari.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung gesaan pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) agar kerajaan mengambil langkah segera menutup sekolah di Kelantan susulan beberapa daerah di negeri itu dikenakan PKP.

Mah berkata, penutupan kembali sekolah selepas hampir setahun tidak beroperasi boleh mengakibatkan pembelajaran terkesan.

"Pada waktu sama perlu juga kita fahami bahawa pendidikan untuk anak murid kita juga sangat penting, tidak ada seorangpun di dunia ini yang dapat meramalkan bilakah wabak pandemik Covid-19 ini akan berakhir.

"Jadi, kalau kita tidak memberikan perhatian yang secukupnya dari segi pembelajaran maka anak-anak murid akan terkesan, itu pun akan jadi satu masalah yang cukup besar," katanya.

Justeru beliau berkata, perlu ada mekanisma untuk mencari satu keseimbangan dari segi semua aspek berkenaan.

"Dari segi pembelajaran bahasa mungkin kita masih boleh lagi 'catch up' tetapi subjek tertentu seperti Matematik dan Sains, jika tidak belajar mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran subjek seterusnya yang berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kes yang terjadi di sekolah sebenarnya merebak daripada luar dan dibawa sama ada anak murid atau guru terjangkit.

"Jadi, dari segi risiko, sebaran atau merebaknya risiko jangkitan antara murid tidak tinggi berbanding di bazar, pasar raya dan sebagainya,

"Kita kena faham waktu ini virus sudah berada dalam komuniti dan kita menekankan orang dewasa yang sepatutnya menerima vaksin kena mendaftar supaya kita dapat mencapai satu tahap bukan sahaja melindungi diri kita tetapi semua orang dalam satu komuniti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 2:28 PM