ANGGOTA polis membuat rondaan serta pemeriksaan ke atas pengunjung sebelum memasuki bazar Ramadan di Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang.
ANGGOTA polis membuat rondaan serta pemeriksaan ke atas pengunjung sebelum memasuki bazar Ramadan di Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Mohd Amin Jalil


Nilai: Masyarakat perlu menghargai kebenaran membuka bazar Ramadan oleh kerajaan atau pihak berkuasa berkaitan dengan memastikan mereka dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pengunjung bazar Ramadan perlu memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan fizikal ketika memasuki kawasan bazar Ramadan.

Katanya, tindakan segelintir pengunjung yang cuai terutama dari aspek penjarakan fizikal boleh memberi kesan terhadap penularan wabak Covid-19.

"Pengunjung bazar Ramadan harus sedar bahawa usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 belum berakhir, jadi mereka perlu sentiasa mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.

"Kebenaran yang diberikan oleh pihak berkuasa bagi membolehkan bazar Ramadan beroperasi kali ini harus dihargai sebaiknya supaya ia tidak menimbulkan masalah terutama membabitkan kluster baharu Covid-19," katanya selepas Ops Pematuhan SOP di bazar Ramadan Bandar Baru Nilai, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh.

Mohd Fazley berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukannya, polis berpuas hati dengan penyediaan kod pendaftaran MySejahtera, buku daftar, alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman yang disediakan oleh pihak penganjur bazar.

Beliau berkata, ia menjadi antara syarat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan operasi bazar Ramadan.

"Setakat ini hasil pemantauan dibuat mendapati pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan namun tidak menolak berlaku sedikit kesesakan pengunjung di kawasan tertentu akibat keterujaan mereka mengunjungi bazar Ramadan.

"Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa penganjur bazar Ramadan menyediakan pelan kecemasan sebagai langkah menangani masalah jika berlaku hujan terutama ketika ramai pengunjung.

"Keperluan menambah baik perlu dibuat oleh pihak penganjur terutama pelan kecemasan supaya dapat memastikan kepentingan peniaga dan pengunjung dijaga dan aktiviti bazar Ramadan dapat berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 12:48 PM