KOTAK mengandungi pod dan cecair vape pelbagai jenama ditemui di Pangkalan Haram Awang Bunga. FOTO ihsan PGA
KOTAK mengandungi pod dan cecair vape pelbagai jenama ditemui di Pangkalan Haram Awang Bunga. FOTO ihsan PGA
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 809 pod vape dan 2,780 botol cecair vape pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM310,360 di Kampung Limau Purut di sini, pagi semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai penyeludupan peralatan dan cecair vape dari Malaysia ke Thailand menerusi pangkalan haram sekitar kampung terbabit.

"Susulan daripada maklumat itu, pada jam 6.50 pagi semalam, anggota membuat rondaan dan pemantauan di Pangkalan Haram Awang Bunga sebelum menemui beberapa kotak berwarna coklat berada di tepi sungai.

"Pemeriksaan mendapati kotak itu mengandungi 809 pod dan 2,780 botol cecair vape pelbagai jenama.

"Usaha mengesan pemilik dilakukan di sekitar kampung namun gagal dan rampasan dibawa ke Kompani Taktikal Taman Bakti, Rantau Panjang untuk siasatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Nor Azizan berkata, pod dan cecair vape itu dipercayai akan diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram dan laporan dibuat di Balai Polis Lalang Pepuy.

Menurutnya, semua pod vape akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 manakala cecair vape diserah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk siasatan menerusi Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 10:28 AM