Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lapan lagi kluster baharu Covid-19 hari ini membabitkan lima kluster tempat kerja dan tiga dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Jalan Kasawari adalah kluster tempat kerja yang dikenal pasti di Kuala Langat, Selangor hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang dengan 49 kes dikesan positif Covid-19.

Menurutnya, Kluster Jalan Desaria pula kluster tempat kerja di Sepang, Gombak dan Hulu Langat di Selangor apabila kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-354,763) dilaporkan positif Covid-19 pada 8 April lalu hasil saringan individu bergejala dan 13 kes positif dikesan setakat ini.

"Kluster tempat kerja lain adalah Kluster Jalan Bambangan di Mukah dan Dalat, Sarawak dengan kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-354,166) dilaporkan positif Covid-19 pada 7 April lalu hasil saringan individu bergejala, 30 kes positif dikesan setakat ini bagi kluster itu.

"Satu lagi kluster tempat kerja adalah Kluster Jalan Badarudin di Kuching dan Samarahan, Sarawak apabila kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke 354,160) dilaporkan positif Covid-19 pada 7 April lalu hasil saringan individu bergejala dan 17 kes positif sudah dikesan setakat ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster tempat kerja kelima yang dikenal pasti adalah Kluster Jalan Zainab di Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat di Kelantan apabila kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-353,286) dilaporkan positif Covid-19 pada 6 April lalu hasil saringan individu bergejala dengan 51 kes dikesan positif bagi kluster terbabit setakat ini.

"Kluster komuniti pula adalah Kluster Nanga Kelangas di Julau, Sarawak di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-350,572) dilaporkan positif Covid-19 pada 4 April lalu hasil saringan individu bergejala dengan 37 kes dikesan positif setakat ini.

"Kluster komuniti lain adalah Kluster Abak Bon di Miri dan Subis, Sarawak apabila kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-340,251) dilaporkan positif Covid-19 pada 27 Mac lalu hasil saringan pra-pembedahan dengan 34 kes dikesan setakat ini," katanya.

Beliau berkata, satu lagi kluster komuniti adalah Kluster Meruntum di Putatan dan Penampang, Sabah dengan kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-358,071) dilaporkan positif Covid-19 pada 10 April lalu hasil saringan kontak rapat dengan lapan kes dikesan positif setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:48 PM