GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia merekod kutipan kompaun berjumlah RM52.7 juta daripada 475,261 saman yang dilunaskan orang ramai menerusi aplikasi MyBayar Saman sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, sambutan orang ramai untuk pembayaran saman mereka menerusi aplikasi itu menggalakkan dan jumlah individu yang berdaftar turut meningkat.

"Kutipan kompaun saman ini sudah melepasi RM50 juta pada hari ke-14 sejak aplikasi ini diperkenalkan pada 25 Mac lalu.

"Orang ramai dinasihatkan untuk merebut peluang tawaran 50 peratus menerusi aplikasi ini yang akan berakhir tiga hari lagi iaitu pada 11 April ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, seramai 615,586 pengguna sudah berdaftar dengan MyBayar Saman sehingga semalam

Pada 25 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, orang ramai yang mempunyai saman kompaun trafik boleh menikmati diskaun sehingga 50 peratus menerusi pendaftaran portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman.

Bagaimanapun tawaran diskaun berkenaan tidak terpakai untuk kesalahan utama trafik antaranya melanggar lampu isyarat merah; memandu melebihi had laju ditetapkan; memotong garisan berkembar; menggunakan telefon semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan.

Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian MyBayar Saman dengan melayari portal rasmi PDRM atau pautan https://mybayar.rmp.gov.my manakala bagi aplikasi mudah alih perlu memuat turun menerusi Google Playstore atau Apple Store serta mendaftar sebagai pengguna sebelum bayaran dapat dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 4:38 PM