GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan pengurangan kompaun saman terpilih hingga 80 peratus dengan had minimum RM30 bermula esok hingga Ahad ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, berkata, penawaran diskaun itu sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurutnya, semua pembayaran kompaun boleh dibuat di kaunter PDRM KLCC, kaunter bayaran saman trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), selain portal dan aplikasi MyBayar sepanjang empat hari itu.

"Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuh isyarat lampu merah dan memotong garisan berkembar.

"Ia juga tidak termasuk kesalahan dikategorikan tidak boleh kompaun, berstatus perbicaraan, berkaitan kenderaan berat dan pengubahsuaian ekzos kenderaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai, syarikat dan entiti perniagaan boleh mendaftar melalui portal rasmi PDRM atau https://mybayar.rmp.gov.my, selain memuat turun aplikasi di Google Playstore, Apple Appstore serta Huawei Appgallery dan seterusnya membuat bayaran melalui aplikasi itu.

"Orang ramai diminta supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal penularan Covid-19 ketika berusan di kaunter bayaran, selain menggalakkan pembayaran kompaun secara dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 4:19 PM