Kelihatan orang ramai membayar saman di Cawangan Trafik  Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terenganu.  FOTO GHAZALI KORI
Kelihatan orang ramai membayar saman di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terenganu. FOTO GHAZALI KORI
BERNAMA

Georgetown: Polis Pulau Pinang merekodkan kutipan bayaran saman hampir RM5 juta sejak pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula Khamis lalu hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zokapli berkata, ketika ini keadaan di kaunter pembayaran saman terkawal serta tidak sesak dengan orang ramai berbanding dua hari pertama sebelum ini.

"Kutipan itu hasil bayaran saman yang diterima daripada orang ramai yang telah mengunjungi kaunter pembayaran saman di cawangan trafik di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tempoh tawaran diskaun pembayaran saman yang dijadual berakhir semalam, dilanjutkan sehingga 31 Disember ini bagi memberi masa lebih panjang untuk orang ramai menjelaskan saman.

Sehubungan itu, Zafri berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya mengambil peluang membayar saman mereka pada masa diskaun 80 peratus ini.

Menurutnya bagi mengelakkan kesesakan di kaunter trafik di IPD sehingga terpaksa beratur panjang, orang ramai boleh menjelaskan saman melalui portal dan aplikasi mudah alih antaranya MyBayar Saman, ATM Maybank dan Pejabat Pos Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Ikhwan Ahmad Razif, 35, berterima kasih kepada pihak polis kerana melanjutkan tempoh diskaun 80 peratus dan membenarkan pembayaran saman menerusi beberapa saluran termasuk di pejabat pos.

Katanya, ramai berasa lega apabila kaunter bayaran saman di IPD Timur Laut di sini tidak lagi sesak seperti dua hari lalu dan sistem pembayaran juga berjalan lancar.

"Saya cuba datang untuk bayar saman pada Sabtu dan Ahad lepas, tetapi ramai sangat yang beratur dan tidak larat menunggu giliran, jadi saya datang semula hari ini dan nampaknya orang tak ramai malah proses berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 7:48 PM