GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Keputusan kerajaan membenarkan gelembung pelancongan bersasar yang membolehkan pelancong bergerak dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berjaya memberi impak positif terhadap industri itu terutamanya di utara Semenanjung.

Pemangku Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara M Yoganthiran berkata, sambutan yang diterima pemain industri susulan kebenaran itu agak menggalakkan apabila maklum balas mendapati rata-rata mereka bergembira dengan banyak pertanyaan dan tempahan diterima.

Menurutnya, sambutan itu turut terhasil daripada tawaran harga rendah oleh pemain industri pelancongan domestik selain konsep 'beli dahulu guna kemudian' yang banyak diterapkan.

"Bila kita bertemu sendiri dengan penggiat industri, rata-rata mereka mengakui sudah terima banyak pertanyaan dan tempahan, biarpun kita sedar adanya kritikan mengenai kemahuan masyarakat menggunakan khidmat agensi pelancongan untuk pelancongan domestik ketika pandemik ini.

"Melancong melalui cara ini (menggunakan khidmat agensi pelancongan) juga secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat untuk merancang percutian mereka di lain masa supaya lebih teratur dan selamat," katanya di Sembang Santai Tourism Malaysia Wilayah Utara bersama pengamal media di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan beberapa pihak mengenai sambutan hambar yang diterima susulan kebenaran gelembung pelancongan bersasar yang diumumkan kerajaan bermula 10 Mac lalu memandangkan pergerakan rentas negeri masih dilarang.

Selain itu, katanya, penstrukturan semula Tourism Malaysia yang menyaksikan pejabat di cawangan negeri sebelum ini dipusatkan mengikut wilayah, ia sedikit-sebanyak memudahkan usaha mempergiatkan pakej pelancongan antara negeri (inter-state).

Menurutnya, ia juga bakal memudahkan kolaborasi bersama dilakukan antara pihaknya bersama penggiat industri di dua atau lebih negeri yang berbeza bagi mempelbagaikan pakej pelancongan yang sekali gus mempercepatkan usaha pemulihan bagi industri pelancongan susulan pandemik Covid-19.

"Melalui cara ini, kita bersama penggiat industri di semua negeri dalam wilayah sama boleh berhimpun bagi bertukar pandangan dan berkongsi permasalahan untuk sama-sama saling membantu menghasilkan pakej menarik dan berdaya saing yang boleh ditawarkan.

"Contohnya, dalam pakej yang sama seseorang pelancong akan memulakan pengembaraannya di Perak untuk dua hari pertama, kemudiannya untuk hari ketiga dan seterusnya akan dibawa mengembara ke Kedah, atau Perlis," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 2:17 PM