FOTO hiasan
FOTO hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak dilanjutkan selama 14 hari lagi, mulai 30 Mac ini.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keputusan itu diambil selepas pihaknya menilai situasi kes positif di Sarawak yang masih membimbangkan.

Menurutnya, pelanjutan perintah itu bermula 12.01 tengah malam 30 Mac ini hingga jam 11.59 malam 12 April depan.

"Selepas melihat dan menilai situasi kes positif di Sarawak yang masih tinggi, JPBN memutuskan untuk melanjutkan PKPB di Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama JPBN hari ini memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di dua kampung di daerah Serian.

Ia membabitkan Kampung Chupak yang berkuatkuasa mulai 25 Mac hingga 7 April dan Kampung Batu Gong, yang berkuatkuasa mulai 26 Mac hingga 8 April depan.

Sementara itu, Sarawak merekodkan 213 kes positif baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negeri ini meningkat kepada 15,176 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 46 kes dilaporkan di Bintulu, Miri (39), Sibu (35), Kuching (23), Serian (23), Kapit (14), Samarahan (11), Julau (8), Sarikei (6), Sri Aman (6), Limbang (1) dan Tebedu (1).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 5:52 PM